Ayob Khan tebar roti canai, berseloroh 'dah nak pencen ni'

Ayob Khan tebar roti canai, berseloroh 'dah nak pencen ni'

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Video Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mencuri perhatian ramai apabila beliau menunjukkan kemahiran menebar roti canai ketika bercuti di Sibu, Sarawak.

Rakaman video itu dimuat naik di akaun Facebook rasmi beliau sebentar tadi, memaparkan Ayob Khan menghasilkan tujuh keping roti canai di sebuah restoran di Terminal Bas Sibu.

Dalam kapsyen video berkenaan, beliau menjelaskan percutian singkat bersama isteri memberi peluang untuk ‘mengasah bakat’ di dapur terbuka restoran terbabit.

“15 September 25… saya dan isteri bercuti dua hari di Sibu, Sarawak. Malam tadi pergi nak makan roti canai di Curry House Sibu Bus Terminal tapi melihat cara mamak yang tebar roti canai tu tak memenuhi cita rasa saya. Saya ambil alih tugas beliau.

“Tebar tujuh biji roti canai untuk kami makan sekali-sekala kena asah bakat juga, dah nak pencen ni,” katanya lagi dalam nada berseloroh.

Perkongsian itu menerima reaksi positif daripada netizen yang menyifatkan Ayob Khan sebagai pemimpin berjiwa rakyat dan tidak kekok bergaul dalam suasana santai.

Setakat jam 11 pagi tadi, video berdurasi dua minit 13 saat itu sudah ditonton lebih 72,000 pengguna Facebook dengan lebih 8,000 tanda suka bersama lebih 1,000 komen.

“Tan Sri, nanti dan pencen kalau jadi buka kedai roti canai bagi tau nahh. Kami semua nak mai makan,” tulis Mohd Aizat Syafiq pada ruangan komen.

RajeeDaan Thasan pula menulis, “Keluarga yang berjiwa legasi membantu ibu bapa suatu ketika dahulu. Kenangan zaman kanak-kanak yang kekal selamanya, Tan Sri. Semoga Allah memberkati.”

“Tan Sri tebar memang kelasnya… tak kekok langsung. Orang hebat berjiwa rakyat, semoga panjang umur dan murah rezeki, insya-Allah. Amin, Tan Sri,” tulis Md Yazid.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top