Ayu Damit fokus sambung belajar, enggan bertanding lagi

Ayu Damit fokus sambung belajar, enggan bertanding lagi

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi, Ayu Damit sudah tidak berminat untuk terbabit dalam pertandingan nyanyian apabila mendakwa pernah berdepan pengalaman mistik ketika menyertai sebuah acara, kira-kira enam tahun lalu.

Ayu atau nama sebenarnya, Norayu Damit, 37, berkata pengalaman menyertai pertandingan berkenaan membuatkan dia berasa serik.

“Rasanya masuk pertandingan (nyanyian) sudah tidak lagi, sebab cukuplah. Stress (tekanan) satu hal, banyak benda lagi yang nak kena fikir, jadi baik saya buat benda lain pula.

“Lagipun saya kini sambung belajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan sangat fokus kerana sudah berada dalam semester akhir.

“Mungkin apabila usia 40 tahun ke atas, saya sudah tak menyanyi sangat. Saya mungkin boleh mengajar, sebab usia untuk pencen pula 60 tahun. Jadi saya masih ada masa untuk mengajar,” katanya.

Penyanyi lagu Hanya Di Mercu ini menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Asasi Seni Kreatif sejak 2 Ogos 2021.

Dalam masa sama, Ayu mengulas perkara misteri yang dilaluinya semasa menyertai pertandingan terbabit.

“Semasa berada di belakang pentas, saya kena tepuk di bahagian belakang. Ia jadi ketika saya bersedia dalam minggu keenam. Saya tiba-tiba menangis.

“Selepas itu saya mengalami gangguan sihir. Selesai program itu, lapan bulan juga saya menderita sakit dan terpaksa berubat dengan pengamal perubatan.

“Alhamdulillah, sudah selesai. Pengamal perubatan tak ‘reveal’ (dedah) nama dan saya pun tak kisah. Janji saya sudah okey.

“Cuma sekarang saya kerap alami masalah refluks gastroesofagus (Gerd) hingga kadang-kadang terpaksa masuk hospital,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top