Azah Aziz tidak percaya botox dan 'filler' untuk awet muda

Azah Aziz tidak percaya botox dan 'filler' untuk awet muda

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : “Saya takut tengok kawan yang buat muka (wajahnya) bengkak dan semoga dijauhkanlah,” kata pelakon dan model terkenal era 1990-an, Azah Aziz, 53, ketika ditanya sama ada dia ada mengambil suntikan botox dan ‘filler’ untuk kelihatan awet muda.

Azah atau nama sebenarnya, Norazah Aziz berkata, dia memang tidak percaya suntikan botox dan pembedahan kosmetik untuk mengekalkan kejelitaannya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan kecantikan wajah yang asli tanpa melakukan sebarang suntikan dan pembedahan kosmetik.

“Sebenarnya, sebagai pelakon dan model komersil, saya memang sudah menjaga penampilan sejak zaman muda lagi.

“Selain melakukan rutin senaman seperti berlari, saya juga buat ‘facial’, (rawatan wajah), memakai krim mata dan ‘sunscreen’ (krim tabir suria) walaupun duduk di rumah,” katanya.

Pada masa sama, kata Azah dia juga mengambil vitamin dan sajian makanan yang sihat untuk menjaga kesihatan dalamannya.

“Saya juga sentiasa gembira dan bersikap positif serta mengelakkan tekanan untuk tampil awet muda,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas pengumuman calon Top 10, Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-37 (ABPBH37) dan jumlah undian diterima penganjur dalam siaran langsung program hiburan sensasi Melodi di Balai Berita, di sini, malam tadi.

Mengenai karier lakonan pula, kata pelakon yang dikenali dalam drama Cinta Korporat dan Idaman ini, dia juga berdepan situasi di mana penerbit juga berdepan kesukaran untuk memberikannya watak sesuai dengan wajah awet mudanya itu.

“Ada penerbit yang tawarkan saya watak emak tapi pihak stesen televisyen pula tolak dengan alasan wajah saya nampak muda.

“Produksi pun kadang-kadang tidak tahu nak beri saya watak apa kerana bila ditawarkan watak kakak, ada yang kata wajah saya nampak tua pula untuk watak berkenaan.

“Sebenarnya, saya tidak kisah lakonkan watak emak, datin ataupun antagonis pada usia sekarang,” katanya yang juga ibu kepada tiga anak yang sudah dewasa itu.

Dalam perkembangan lain, Azah juga mengakui tidak menyangka namanya bolos Top 10, kategori Aktres Pembantu TV Popular, ABPBH37 selepas 25 tahun meninggalkan bidang lakonan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top