Kuala Lumpur : Pelakon Azah Aziz bersyukur suaminya, Daud Leroy Abdullah yang kini bekerja di Dubai, berada dalam keadaan baik dan selamat.
Azah berkata, suaminya sering menghubungi dan memastikan dia serta anak-anak mendapat perkhabaran dari masa ke semasa.
“Suami setiap masa memaklumkan keadaan terkini dirinya di Dubai. Kebetulan, anak kedua saya tidak bersamanya di Dubai. Dia pergi ke Mexico. Kalau tidak, anak tinggal bersama ayahnya.
“Setakat ini, keadaan suami baik-baik sahaja. Semalam, suami beritahu apa yang berlaku di Palm Jumeirah adalah letupan akibat serpihan peluru berpandu yang disasar Iran ke pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Abu Dhabi.
“Peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran itu perlu melalui ruang udara Dubai kerana jarak antara Dubai dan Abu Dhabi memang dekat,” katanya.
Azah berkata, suaminya memberitahu konflik Asia Barat mungkin menjejaskan bekalan makanan dan minyak di Dubai berikutan semua sumber datang dari luar negara.
“Suami cakap kalau perang masih berlaku, semua perjalanan, penerbangan dan kapal akan terjejas. Semua makanan datang dari luar. Jadi, kalau mereka sekat, susahlah untuk dapatkan makanan.
“Jadi, suami saya mahu pergi ke pasar raya untuk membeli dan menyimpan stok makanan sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya konflik berlarutan.
“Harga minyak dan makanan juga mungkin akan meningkat. Bekalan boleh menjadi terhad kerana kebanyakan sumber diperoleh dari luar negara,” ujarnya.
Azah mengakui dia tidak dapat menyembunyikan rasa bimbang setiap kali menerima khabar mengenai situasi di Dubai.
“Memang saya risau sangat. Saya mula-mula dapat tahu kejadian itu di sini jam 7 pagi. Bermaksud di Dubai kira-kira jam 3 pagi.
“Jadi, apabila panggilan saya tidak berjawab, saya jadi cemas. Suami menghantar mesej beritahu dia tidak dapat tidur sepanjang malam kerana bunyi bising.
“Dia beritahu keadaan selamat dan minta saya jangan risau,” katanya.
Azah berkata, suaminya juga menasihati dirinya agar tidak mempercayai sepenuhnya maklumat tersebar di internet, sebaliknya, hubungi beliau.
“Kebanyakan video atau maklumat yang tersebar itu adalah kejadian lama. Ada juga yang disunting menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




