Azalina tegaskan had tempoh jawatan Perdana Menteri 10 tahun elak kezaliman

Azalina tegaskan had tempoh jawatan Perdana Menteri 10 tahun elak kezaliman

Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 disifatkan sebagai langkah penting untuk memastikan proses peralihan kuasa berjalan dengan lebih sihat, sekali gus mengelakkan berlakunya penyalahgunaan kuasa.

Tempoh jawatan elak kezaliman

Memetik laporan Sinar Harian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan pembaharuan itu bukan ditujukan kepada mana-mana individu, sebaliknya dilaksanakan demi kepentingan negara pada masa depan.

“Saya melihat bagi negara kalau Perdana Menteri itu kita hadkan tempoh dia, elok untuk negara sebab tidak payahlah orang yang sama.
“Ini satu proses yang mewujudkan konsep tempoh jawatan yang tidak seolah-olah dia mati dalam jawatan itu,” katanya pada Isnin.

Pada 2 Mac lalu, RUU berkenaan gagal memperoleh sokongan majoriti dua pertiga Ahli Dewan Rakyat, sekali gus menyebabkan usul pindaan itu tidak dapat diluluskan.

Keputusan tersebut diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas undian dijalankan sebaik selesai sesi perbahasan yang melibatkan 41 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, penetapan had tempoh jawatan Perdana Menteri mampu membentuk budaya peralihan kepimpinan yang lebih tersusun serta memperkukuh amalan demokrasi negara.

“Kalau pemimpin tidak bertukar, kemungkinan pemimpin itu akan mewujudkan kezaliman.
“Apabila tiada peralihan kuasa, ia boleh membawa kepada penyalahgunaan kuasa,” kongsinya.

Beliau turut berpandangan bahawa had tempoh memegang jawatan akan memberi ruang kepada lebih ramai pemimpin untuk tampil menyumbang kepada pembangunan dan pentadbiran negara.

Artikel lain: “Tiada undang-undang halang mereka ambil alih perniagaan” -Azalina ulas Isu Rohingya

Dalam perkembangan sama, Azalina berkata, usaha reformasi institusi yang sedang digerakkan kerajaan, termasuk cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri serta pemisahan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya, dijangka dapat meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

Menurut beliau, pelabur lazimnya akan menilai tahap kebebasan institusi kehakiman dan keberkesanan sistem perundangan sesebuah negara sebelum membuat keputusan untuk melabur.

“Saya selalu lihat kalau pemimpin tidak bertukar, kemungkinan pemimpin itu akan mewujudkan kezalimanlah,” tambahnya lagi.

Sumber: Sinar Harian (Nurul Huda Husain)

Scroll to Top