Azam Baki sedia disiasat -“Saya mengalu-alukan sebarang proses yang telus”

Azam Baki sedia disiasat -“Saya mengalu-alukan sebarang proses yang telus”

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan beliau terbuka untuk disiasat oleh mana-mana jawatankuasa bebas yang ditubuhkan kerajaan berhubung isu pemilikan saham membabitkan dirinya.

Azam Baki sudah buat pengisytiharan kewangan & harta

Memetik laporan daripada Sinar Harian, beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan segala pengisytiharan kewangan telah dibuat mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Semua pengisytiharan kewangan dan harta telah dibuat selaras dengan peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa serta melalui saluran rasmi yang ditetapkan, sebagaimana yang diwajibkan ke atas setiap penjawat awam.
“Saya mengalu-alukan sebarang proses yang telus, bebas dan objektif bagi menentukan fakta berasaskan bukti serta mengikut prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang.
“Pendekatan sedemikian penting bukan sahaja untuk mempertahankan integriti peribadi saya, malah bagi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai sebuah institusi,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Azam Baki tegaskan SPRM sentiasa ambil maklum setiap laporan

Azam berkata, sebagai penjawat awam dan ketua agensi penguatkuasaan, mana-mana individu yang berhadapan dengan dakwaan sewajarnya bersikap terbuka serta bersedia disiasat secara bebas dan telus tanpa pengecualian.

“Budaya akauntabiliti tidak boleh bersifat terpilih atau bermusim.
“SPRM sentiasa mengambil maklum setiap laporan dan aduan yang dikemukakan oleh manamana pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan akan menilai setiap maklumat berdasarkan undang-undang serta fakta yang diperoleh melalui proses siasatan yang sah,” ujarnya.

Tiada siapa yang berada di atas undang-undang

Beliau turut menegaskan tiada siapa berada di atas undang-undang dan tiada siapa juga yang harus dihukum melalui persepsi atau naratif media semata-mata.

“Sepanjang perkhidmatan, saya kekal komited terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang.
“Saya akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana mekanisme yang sah dan ditubuhkan secara wajar bagi meneliti perkara ini,” ujarnya.

azam baki

Artikel lain: Azam Baki tuntut ganti rugi RM100 juta! Keluar surat tuntutan kepada Bloomberg

Terdahulu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilaporkan meminta semua pihak memberi ruang kepada Azam untuk memberikan penjelasan berhubung isu berkenaan.

Sumber: Sinar Harian (Muhammad afham Ramli)

Scroll to Top