Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan beliau tidak bekerja mengikut telunjuk mana-mana pihak termasuk tidak menerima sebarang arahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam melaksanakan tugasnya.
Azam baki tidak ambil sebarang arahan
Memetik laporan daripada Kosmo! beliau menyatakan segala siasatan yang dijalankan adalah berdasarkan mandat yang diberikan dan bukan atas arahan mana-mana individu.
“Saya tidak mengambil sebarang arahan. Saya hanya menjalankan siasatan. Malah, kes-kes lama atau ‘cold cases’ sekalipun akan disiasat sekiranya terdapat petunjuk atau maklumat baharu. Itu adalah mandat yang diberikan kepada saya.
“Saya akan melaksanakan tugas dan tanggungjawab saya,” katanya dalam sidang akhbar khas di ibu pejabat SPRM.

Tak pernah berbincang dengan Perdana Menteri
Azam juga memaklumkan, beliau tidak pernah berbincang dengan Perdana Menteri mengenai apa yang perlu disiasat kerana perkara itu bukan tertakluk untuk dirujuk kepada mana-mana pihak.
“Saya tidak pernah berbincang dengan Perdana Menteri tentang apa yang perlu saya lakukan. Saya tidak tertakluk untuk berbincang dengan beliau. Saya akan menyelesaikan perkara ini sendiri dan agensi ini,” tegasnya.

Tak tolak ada pihak kurang senang
Mengulas dakwaan serta kritikan yang dilemparkan terhadapnya termasuk membabitkan kes berprofil tinggi, Azam Baki tidak menolak kemungkinan terdapat pihak yang kurang senang dengan siasatan yang dijalankan SPRM.
“Mungkin ada yang tidak suka saya menyiasat kes-kes berprofil tinggi. Saya tidak tahu. Mereka terus menyebarkan maklumat yang salah kepada orang ramai. Saya tidak pasti mengapa,” katanya.

Artikel lain: PM Anwar gesa baca penjelasan Azam Baki dahulu -“Dia buat kerja, buat apa maki dia”
Beliau turut menegaskan bahawa SPRM merupakan satu-satunya agensi penguat kuasa di negara ini yang dipantau oleh lima jawatankuasa pemantau bebas, sekali gus menolak dakwaan wujud campur tangan dalam siasatan.
Sumber: Kosmo!




