Azam ikrar terus perangi rasuah, tingkat skor CPI negara

Azam ikrar terus perangi rasuah, tingkat skor CPI negara

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tan Sri Azam Baki berikrar untuk meneruskan usaha membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa di negara ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berkata, ia tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepadanya dalam menerajui pasukan.

“Saya akan terus menerajui usaha SPRM dalam membanteras segala bentuk rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa demi mewujudkan sebuah negara yang makmur, adil serta sejahtera.

“SPRM juga komited untuk meningkatkan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara supaya Malaysia terus dihormati dan diyakini di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, SPRM menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang memperkenankan pelantikan semula Azam untuk tempoh satu tahun berkuat kuasa mulai 13 Mei 2025 hingga 12 Mei 2026.

SPRM turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan dan dukungan berterusan dalam meneruskan amanah itu.

Terdahulu Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengumumkan pelantikan semula Azam untuk tempoh setahun lagi.

Beliau menerusi kenyataan memaklumkan, pelantikan Azam diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selaras dengan Subsekyen 5(1) dan (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694].

Pelantikan itu akan berkuat kuasa mulai 13 Mei ini sehingga 12 Mei 2026.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top