Azar Azmi pernah jual durian, minta bantuan rakan artis untuk keluarga selepas menyepi

Azar Azmi pernah jual durian, minta bantuan rakan artis untuk keluarga selepas menyepi

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas lebih enam tahun menyepi dan terpalit pelbagai kontroversi termasuk kes penipuan, pelakon Azar Azmi akhirnya tampil mendedahkan kisah sebenar kehidupannya yang selama ini menjadi tanda tanya orang ramai.

Azar atau nama sebenarnya, Siti Azar Ameerah Azmi, 37, mengakui tidak pernah menghilangkan diri selepas dikhabarkan berkahwin, sebaliknya memilih menjalani kehidupan biasa sebagai suri rumah dan memberi tumpuan kepada keluarga tanpa menonjolkan diri di khalayak.

Menerusi temubual eksklusif dalam Melodi TV3 yang disiarkan malam ini, Azar berkata, keputusan tidak aktif dalam dunia lakonan bukan kehendak sendiri, sebaliknya menghormati keluarga mentua walaupun dia tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan untuk berhenti berlakon.

Bercerita lanjut mengenai kehidupan rumah tangganya, Azar mengakui perasaannya bercampur-baur dan kadang kala berasa cemburu melihat kebahagiaan pasangan lain.

“Saya lebih kepada menjaga anak-anak dan sebab itu jugalah saya bertahan. Saya mengimpikan keluarga yang tidak mahu gagal, biarlah sampai mati, tetapi saya pun tidak sangka bila sudah jadi macam ini,” katanya.

Nama Azar kembali menjadi perhatian orang ramai, baru-baru ini selepas dia dan suami ditahan polis berhubung kes penipuan membabitkan penjualan tanah kurnia selain urusan darjah kebesaran pada Mac lalu.

Menceritakan detik itu, dia mengakui terkejut apabila ditahan tanpa mengetahui perkara sebenar, apatah lagi enam bulan sebelum itu dia tidak mempunyai telefon bimbit dan terputus hubungan dengan dunia luar.

“Saya direman serta disoal siasat mengikut segala prosedur dan tiada yang terkecuali. Saya dah (berada) di sini pun, ada juga individu yang tidak berpuas hati, macam mana kau boleh keluar, macam mana kau boleh lepas. Biasalah mulut orang ini kita tidak boleh nak tutup,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Azar menafikan dakwaan menjalani kehidupan mewah seperti digambarkan, malah mendedahkan pernah berniaga kecil-kecilan termasuk menjual durian dan cempedak untuk menyara kehidupan serta turut mendakwa pernah meminta bantuan rakan artis bagi keperluan anak seperti susu dan lampin.

“Sebab itulah kalau saya cakap saya tidak semewah apa yang ditulis dalam headline (tajuk berita) itu orang tidak percaya. Kalau nak katakan tentang cerita yang tular itu, pihak berkuasa ambil saya, saya buat perkara itu, saya (akan) berpuas hati bila guna duit itu.

“Masalahnya, kehidupan yang saya hadap, dengan apa yang duit di headline (tajuk berita) itu tidak sama.

“Bila perkara sudah jadi macam ini, entahlah. Saya rasa saya tidak boleh fikir tentang orang lain. Saya nak kena membesarkan anak-anak,” katanya dalam nada sebak.

Mengimbas detik paling sukar, Azar berkata, dia pernah terfikir untuk menjelaskan perkara sebenar kepada umum, namun berasa tiada siapa akan mempercayainya apabila imejnya dengan pakaian lokap dan bergari itu diketahui umum.

Menurutnya, ia adalah saat paling buruk dalam kehidupannya yang tidak pernah dibayangkan termasuk ditahan di lokap untuk siasatan.

“Saya tiada sesiapa dan tiada tempat mengadu. (Ketika itu) saya cuma ada dinding dan jeriji tiang sahaja. Saya nak bercakap dengan siapa? Saya hanya mampu berdoa. Tolong buktikan siapa yang betul, siapa yang salah. Tolonglah lindungi darah daging saya yang ada di luar ini sebab saya tidak boleh buat apa di dalam (lokap).

“Saya cukup menjaga nama keluarga dan sampai satu tahap, saya penat sebenarnya untuk hidup. Kalau saya buat perkara itu saya puas, nak tangkap saya, ambillah. Saya dah habis nak enjoy (gembira) dengan melakukan perkara itu semua,” katanya yang mengakui terlalu percaya kepada orang sehingga memakan diri sendiri.

Walaupun kehilangan tempat bergantung seperti ibu bapa serta kegagalan rumah tangga yang diharapkan, Azar bersyukur dia masih mempunyai adik-beradik yang sentiasa memberi sokongan moral kepadanya.

Menurut pelakon drama Nur ini juga, dia amat terharu dengan sokongan segelintir masyarakat yang tidak dikenali tetapi tetap memberi kata-kata semangat kepadanya walaupun berdepan kecaman.

“Yang tetap bagi semangat kepada saya, doakanlah yang terbaik untuk diri saya supaya saya terus kuat menjalani kehidupan.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua sebab masih lagi ada dengan saya, nak meniti semula (kehidupan) itu dalam keadaan yang (saya perlu) merangkak baliklah.

“Bagi saya, kehidupan ini sudah tiada apa. Walau apa sekalipun, saya perlu buat sesuatu,” kongsinya.

Sebelum ini, Azar tidak pernah berkongsi kisah peribadi termasuk perkahwinannya dan tidak aktif di media sosial sehingga membuatkan ramai tertanya-tanya tentang perkembangan terkininya.

Difahamkan, Azar mendirikan rumah tangga bersama Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri dan memiliki dua orang cahaya mata.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top