Azeem lolos ke separuh akhir 200m

Azeem lolos ke separuh akhir 200m

Bochum: Hanya kira-kira 15 jam selepas beraksi dalam final 100 meter (m), jaguh pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi berjaya melangkah ke separuh akhir acara 200m pada Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 di Lohrheidestadion, di sini, hari ini.

Pada perlumbaan pusingan pertama, Muhammad Azeem bermula dengan baik sebelum dilihat memperlahankan larian kira-kira 30m terakhir untuk menamatkan saingan saringan dua di tempat keempat dengan catatan masa 21.26 (s).

Pemenang emas 100m Bayanda Walaza dari Afrika Selatan mengungguli saingan itu dengan masa 20.93s, diikuti Lukasz Zok (21.06s) dan Zalan Deak dari Hungary di tempat ketiga (21.23s).

Muhammad Azeem mengesahkan kemaraan ke separuh akhir selepas menjadi tiga pelari terpantas dalam kalangan bukan tiga pelumba pertama setiap saringan yang layak secara automatik.

“Secara keseluruhan memang penat sebab habis perlumbaan (final 100m) hampir 10 malam tadi dan sampai hotel sekitar jam 11, jadi rehat tak cukup. Tapi itu bukan alasan kerana Walaza pun lalui perkara sama. Kami berdua saja yang layak ke final 100m dan turun 200m hari ini.

“Ia (larian hari ini) agak mencabar, terutama saya yang dah lama tak lari 200m, tapi ikut perbincangan dengan jurulatih, ini sebenarnya latihan baik untuk persiapan perlumbaan akan datang,” kata penuntut Universiti Auburn di Amerika Syarikat itu ketika ditemui pemberita selepas aksi saringan di sini.

Muhammad Azeem memiliki catatan peribadi terbaik 20.79s yang dilakar pada kejohanan di Florida, April lalu yang juga satu-satunya penampilannya dalam acara 200m sebelum beraksi di sini.

Catatan itu hanya dibezakan 0.02 saat daripada rekod kebangsaan 20.77s milik Russel Alexander Nasir Taib.

Mengulas lanjut, beliau mengharapkan tuah undian untuk mendapatkan lorong di luar bagi peringkat separuh akhir yang dijadual berlangsung malam esok (awal pagi Jumaat waktu Malaysia).

“Saya sangat berharap diletakkan di lorong luar, bukan di lorong dalam sebab dengan keadaan kaki saya yang panjang ia sangat tidak memberi kelebihan untuk saya berlari di lorong dalam tetapi matlamatnya ialah untuk bertahan dan mara dalam pertandingan besar seperti ini,” kata atlet kelahiran Teluk Intan, Perak itu.

Dalam pada itu, seorang lagi atlet negara, Pengiran Aidil Auf Hajam terkandas di pusingan pertama selepas berada di tempat kelima dalam saringan tujuh dengan masa 21.69s.

Sebagai rekod, Muhammad Azeem terlepas peluang menaiki podium dalam acara 100m selepas menamatkan perlumbaan di tempat keempat dengan masa 10.35s di belakang Walaza selaku juara (10.16s) diikuti jaguh Thailand Puripol Boonson (10.22s) dan atlet Jepun Hiroki Yanagita (10.23s).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top