helmi.talkah@bh.com.my
Kuala Lumpur: Selepas menghadiahkan pingat gangsa pada Sukan Asia Hangzhou 2022, Muhammad Azeem Fahmi kini mengintai peluang untuk sekali lagi menaiki podium acara 100 meter (m), malah bertekad memperbaiki warna pingat pada temasya Aichi-Nagoya 2026.
Jaguh pecut negara itu berkata, sasaran utama kali ini adalah memastikan dirinya kekal dalam kelompok tiga terbaik, namun pada masa sama mahu mencabar kedudukan lebih tinggi bagi memburu kilauan pingat lebih baik.
“Untuk Sukan Asia, edisi sebelum ini saya berjaya memenangi pingat gangsa. Sudah tentu untuk Sukan Asia kali ini, sasaran saya adalah sama iaitu untuk berada di atas podium.
“Insya-Allah, saya akan cuba yang terbaik untuk mengubah warna pingat,” katanya ketika ditemui selepas lawatan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, serta ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Asia, Datuk Wira Mohd Sumali Reduan di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.
Azeem berkata, persiapan menjelang temasya yang berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober itu berjalan lancar dan berharap mampu mencatatkan masa positif pada Kejohanan Olahraga Grand Prix Oman, Sabtu ini sebagai perlumbaan terakhir sebelum Sukan Asia.
“Alhamdulillah, persiapan semuanya berjalan dengan baik. Keadaan badan saya juga dalam keadaan baik.
“Saya mengharapkan perlumbaan di Oman nanti dapat mencatatkan satu masa yang bagus untuk memberikan saya aura positif menjelang Sukan Asia,” katanya.
Pada edisi kali ini, Azeem bakal berdepan saingan sengit daripada beberapa pelari terbaik Asia termasuk jaguh Thailand, Puripol Boonson yang mencatat masa terbaik musim ini 9.99 saat (s) di Republik Czech bulan lalu.
Turut menjadi ancaman ialah pelari Oman, Ali Al Balushi dengan catatan 10.07s, pelari Jepun Yoshihide Kiryu (10.03s), selain dua wakil China, Deng Xinrui (10.09s) dan Xie Zhenye (10.10s).
Azeem pula hadir dengan rekod musim terbaik 10.09s yang juga rekod kebangsaan miliknya ketika beraksi dalam saingan NCAA di Amerika Syarikat, Mei lalu.
Bagaimanapun, pelari berusia 22 tahun itu percaya jurang antara pencabar utama tidak terlalu besar selepas kebanyakan mereka mencatat masa dalam lingkungan hampir sama.
“Ramai pelari pecut di Asia kini sedang mengukir nama dan itu satu saingan yang sangat sihat.
“Catatan masa terbaik musim ini bagi kami semua berada dalam julat hampir sama iaitu bawah 10.10s. Jadi saya agak yakin menuju ke Sukan Asia,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras Program Kejurulatihan Olahraga Malaysia (MA), Mohd Manshahar Abd Jalil percaya Azeem mampu sekali lagi menaiki podium, malah tidak mustahil melakar kejutan dengan mencatat masa bawah 10s di Aichi-Nagoya.
Menurutnya, keyakinan dan persediaan Azeem ketika ini menjadi faktor penting untuk merealisasikan sasaran berkenaan.
“Dia sendiri yakin dia boleh lakukannya dan saya sebagai jurulatih juga yakin dia boleh buat. Apabila berada dalam pertandingan sebenar, ada perkara yang kita tidak jangka boleh berlaku.
“Apabila keadaan tepat, sesuatu yang luar biasa boleh berlaku,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

