Azeva rakam lagu demi mama

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Ini adalah hadiah untuk mama,”.

Demikian luah penyanyi, Azeva ketika ditanya mengenai langkahnya untuk merakamkan single sulungnya, Tanpa Rasa Jemu.

Azeva, 25, atau nama sebenarnya Wan Azeva Natassha Wan Aminuddin berkata, dia sebelum ini tidak pernah menunjukkan minat untuk terjun ke dalam bidang seni, berubah hati selepas ibunya, Datuk A Aida diuji dengan masalah kesihatan dan nazak setahun yang lalu.

“Rasa-rasanya dahulu sewaktu saya berumur 19 tahun, mama pernah menyuruh saya masuk ke studio dan rakamkan lagu. Saya jawab saya tak mahu dan saya terus keluar dari studio.

“Namun kali ini, saya bersedia untuk merakamkan lagu ini demi mama saya. Tambahan pula, keluarga kami baru sahaja melalui dugaan yang agak berat apabila ibu saya dimasukkan ke ICU, koma selama tiga hari, dan terlantar di hospital selama dua bulan.

“Malah, doktor pernah meminta kami sekeluarga bersiap sedia kerana peluang untuk ibu selamat hanya tinggal satu peratus sahaja,” katanya.

“Pada waktu itulah saya tersedar dan terfikir, ‘selama saya hidup, apakah yang pernah saya lakukan untuk mama saya?’. Rupanya tiada apa-apa selain menghabiskan duitnya sahaja,” katanya.

Menurut Azeva, dia juga berdoa agar Allah kembalikan kesihatan ibunya dan berjanji akan menuruti permintaannya.

“Selepas kejadian itu, saya berdoa kepada Tuhan, ‘Ya Allah, kembalikanlah ibuku. Sekiranya dia kembali, saya berjanji akan menuruti segala kemahuannya’. Selepas mak saya sedar, saya terus terfikir, saya kena tunaikan semua janji.

“Tetapi saya amat bersyukur apabila mak saya sedar. Saya betul-betul ikhlas dan reda untuk menuruti segala permintaan mak saya. Dahulu saya hanya mahu fokus pada pelajaran, tetapi kini saya berhentikan dahulu.

“Saya tidak meneruskan pengajian kertas ACCA saya kerana mahu melakukan apa yang mama minta selagi dia masih ada,” katanya.

Pengalaman itu mengajarnya untuk belajar menghargai orang tersayang kerana tidak mahu menyesal seumur hidup.

“Apabila kita kehilangan seorang ibu, kita akan menyesal sepanjang hayat. Alhamdulillah, mama sedar semula. Ini satu rezeki yang amat besar buat saya.

“Tuhan sudah merancang segalanya dan semua ini tidak akan berlaku tanpa mama saya. Disebabkan itulah saya sudi melakukan apa sahaja yang mama minta,” katanya.

Tanpa Rasa Jemu adalah karya ciptaan komposer, Zul 2By2, Aiman dan Madi Mulyadi, manakala lirik ditulis oleh A Aida. Lagu ini juga menjadi runut bunyi (OST) untuk filem terbaharu lakonan Azeva berjudul Bisikan Nafsu yang akan ditayangkan bermula 1 Oktober ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top