sukan@hmetro.com.my
Kuantan: Penjaga gol kedua Sri Pahang FC, Azfar Arif Mohd Sukri mengakui cabaran besar menantinya apabila diturunkan pada suku akhir kedua Piala Malaysia berdepan Perak FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Ahad ini.
Pemain berusia 25 tahun itu berkata, ketiadaan Zarif Irfan Hashimuddin kerana digantung perlawanan berikutan dilayangkan kad merah pada suku akhir pertama di Manjung 13 Disember lalu, menuntutnya memberikan persembahan terbaik.
“Saya akui perlawanan pada suku akhir kedua ini memberi tekanan kepada saya tetapi akan berusaha melakukan yang terbaik untuk memastikan slot separuh akhir menjadi milik skuad Tok Gajah.
“Pada masa sama, kemenangan ke atas Perak akan membantu Sri Pahang ke separuh akhir dan ia perlawanan yang memerlukan bukan setakat fizikal, malah mental.
“Saya jangkakan asakan bertali arus akan dilakukan Perak terutama jentera serangan pasukan itu selepas tewas dan mereka ketinggalan 0-1 di Manjung.
“Mahu atau tidak saya perlu mengekalkan fokus sepanjang tempoh perlawanan dan mengelak daripada melakukan kesilapan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




