Azhan dedah perlu elak minum kafein, makanan berlemak

Azhan dedah perlu elak minum kafein, makanan berlemak

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon Azhan Rani, 50, mendedahkan tidak minum kopi atau teh sejak lebih setahun lalu kerana mengikuti saranan doktor agar mengurangkan pengambilan ‘kafein’ untuk menderma darah.

Menurut Azhan, nasihat daripada doktor itu nyata tidak sia-sia kerana tahap kesihatan terutama jantungnya berasa lebih ringan dan tidak cepat penat seperti dulu.

“Saja nak kongsi dilema penderma darah ‘apheresis’ yang menderma darah dua minggu sekali. Berbanding penderma darah merah yang menderma tiga bulan sekali.

“Sebelum ini, masalah hemoglobin (HB) rendah pernah jadi di bawah paras 13.5 dan tidak dibenarkan menderma darah. Bila bincang dengan doktor, dinasihat kurangkan pengambilan ‘kafein’ sebelum menderma darah.

“Saya buat keputusan berhenti terus (kafein) tak kira kopi atau teh. Hemoglobin makin naik dan cantik.

“Sekarang sudah setahun lebih tak sentuh ‘kafein’ dan masalah darah rendah tidak ada lagi. Jantung pun rasa lebih ringan. Hemoglobin dah cantik dari biasa, dapat 16.5. Alhamdulillah,” tulisnya pada hantaran dimuat naik di Instagram (IG).

Katanya, dia bagaimanapun berhadapan satu masalah bila kerap menderma darah ‘apheresis’ ini iaitu bacaan platelet semakin lama semakin rendah sekali gus warna darah tidak cantik.

“Darah nampak keruh dan keputihan. Dua minggu lepas doktor sarankan elak makanan berlemak terutama ada santan seperti gulai dan kari. Alhamdulillah, warna darah cantik balik dan platelet pun normal.

“Namun, apakah maksudnya nak kena elak terus makanan bersantan juga? Tapi, saya ini adalah peminat kari dan hari raya Aidilfitri bakal menjelma,” katanya.

Pelakon drama Nur di TV3 itu berkata, moral yang boleh diambil pada permasalahan warna darah dihadapinya adalah penjagaan pemakanan kerana dirinya seorang penderma darah tegar.

Menurutnya, bagi memastikan darah hendak didermakan berada dalam keadaan berkualiti dan baik, mungkin perlu sedikit pengorbanan berdasarkan pengalaman.

“Disiplin pada diri kita sendiri. Manfaatnya bukan sahaja kepada orang yang menerima darah didermakan itu, tetapi kita juga lebih sihat.

“Rutin pemakanan kita kena berubah. Kena sedar makanan juga boleh jadi ‘pembunuh’ dalam diam,” katanya yang mendapat maklum balas positif daripada netizen.

Difahamkan, Azhan sudah mencapai lebih 100 kali menderma darah di Pusat Darah Negara (PDN) pada 27 Disember 2024.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top