Azhan dilantik Panglima Tentera Darat baharu, kenaikan Hafizuddeain ditangguh

Azhan dilantik Panglima Tentera Darat baharu, kenaikan Hafizuddeain ditangguh

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman dilantik sebagai Panglima Tentera Darat berkuat kuasa esok.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelantikan dibuat selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-631 pada 19 November 2025 dan diperkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 1 Disember.

“Namun, pelaksanaan keputusan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-631 mengenai pelantikan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan sebagai Panglima Angkatan Tentera ditangguhkan.

“Beliau diarahkan bercuti bagi membolehkan proses siasatan pihak berkuasa dijalankan terhadap dakwaan yang dilaporkan membabitkan beliau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, tugas Panglima Angkatan Tentera akan dipangku oleh Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain seperti diumumkan pada 27 Disember lalu.

Katanya, Kementerian Pertahanan (MINDEF) tegas dalam memelihara integriti ATM dan memastikan tugas mempertahankan kedaulatan negara dilaksanakan dengan berkesan.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, Muhammad Hafizuddeain akan bercuti berkuat kuasa serta-merta.

Mohamed Khaled dilapor berkata, langkah itu diambil bagi memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang dilaporkan membabitkan Panglima Tentera Darat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top