Pelakon versatile, Azhan Rani kini tampil dengan karakter lebih mencabar apabila diberikan watak sebagai seorang pemuda yang memiliki penyakit autisme.
Pembawaan watak yang baik dalam setiap karakter yang diberikan menjadikan Azhan antara pelakon pilihan pengarah popular, Pali Yahya.
Katanya, pemilihan pelakon amat kena dengan cerita dimana masing-masing memberikan lakonan terbaik.
“Saya dah banyak kali bekerjasama dengan Ummi dan Azhan.
“Lakonan Azhan sebagai pemuda autisme yang keanak-anakan sangat mencabar tetapi dibawa dengan baik olehnya.
“Harun Hashim pula sudah agak uzur, namun masih mampu memberi lakonan yang mantap dan menyentuh perasaan,” katanya.
Tambahnya, hasratnya untuk berdakwah melalui naskah Islamik juga akhirnya tercapai.
“Walaupun dah banyak mengarah, naskhah ini sangat istimewa kerana menjalani penggambaran di Makkah dan Madinah.
“Ia sangat sesuai dengan siarannya di waktu Aidil Adha dan suasana umat Islam mengerjakan Haji.
“Drama ini turut menonjolkan surau berusia lebih 100 tahun di Slim River, Perak sebagai lokasi penggambaran dan ia sangat menarik,” jelasnya.

Manakala, Datin Norley Aimi Nadiah Shaari selaku penerbit berkata, dia bersyukur kerana drama ini terpilih untuk ditayangkan di stesen televisyen sempena Hari Raya Aidiladha nanti.
Bahkan, dia juga berpuas hati dengan komitmen kru terlibat sekaligus berpendapat naskhah seumpama ini perlu diperbanyakkan merana ia bukans ahaja mempunyai nilai hiburan tetapi mesej yang baik untuk diketengahkan kepada masyarakat.
“Ini adalah kali ketiga kami mengadakan penggambaran di Makkah dan Madinah selepas drama Surat Dari Tuhan (TV3) dan Satu Hari Nanti (Iqiyi).
“Kami mempunyai perniagaan di Makkah termasuk rumah di sana menjadikan urusan penginapan dan logistik diurus dengan sempurna.
“Kami berpuashati dengan hasil dan komitmen semua kru termasuk Pali Yahya dan pelakon-pelakon lain. Semoga kami diberi peluang lagi menerbitkan drama yang berunsur islamik.
“Semoga Bilal dan Abah mendapat sambutan penonton. Malah ia sesuai ditonton seisi keluarga apabila ditayangkan nanti.
“Kami berterima kasih kepada Zabidi Mohamad selaku penasihat penerbitan bagi pihak TV Al Hijrah yang menerima telefilem kami,” ujarnya.
Sekadar info, drama ini mengisahkan Bilal seorang pemuda autisme yang sangat mengagumi Bilal bin Rabah.
Hadir seorang insan bernama Fatihah yang bekerja di syarikat umrah ke kampungnya. Perkenalan Fatihah dengan Bilal dan Abahnya sudah membuka peluang Bilal untuk ke Makkah dengan percuma,
Namun Abahnya tidak sempat menyaksikannya kerana meninggal dunia. Apakah Bilal berjaya merealisasikan impiannya?
Selain Azhan Rani, drama ini turut menampilkan Harun Hashim (Abah), Ummi Nazeera (Fatihah), Luqman Hafidz (Jalal) dan Hafiy Al Tamis.




