Azhar Sulaiman anggap satu penghargaan, tapi cukuplah sekali

Azhar Sulaiman anggap satu penghargaan, tapi cukuplah sekali

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Sebenarnya saya dimaklumkan ada beberapa nama pelakon lain, tetapi rezeki menjadi milik saya dan saya anggap ini sebagai satu penghargaan.”

Begitu kata pelakon Azhar Sulaiman, 54, yang memegang peranan sebagai mak nyah yang berhijrah kepada kebaikan dalam drama 15 episod Bintang Di Langit Syawal yang sedang ditayangkan di TV3.

Menurut Azhar, dia berpandangan memegang watak lelaki songsang atau ‘transgender’ tidak boleh dilakonkan untuk kali kedua kerana impaknya akan berbeza buat penonton.

“Cukuplah sekali, saya mahu cabar diri melakonkan watak pondan yang akhirnya berubah menjadi baik dan bertindak sebagai anggota badan bukan kerajaan (NGO) di kawasan Chow Kit.

“Sejujurnya sepanjang pengambaran di situ (Chow Kit) banyak yang saya lihat dan menyifatkannya realiti kehidupan. Saya ucapkan terima kasih kepada pengarah, Bahri Uma sebab beri kepercayaan ini,” katanya kepada Harian Metro.

Azhar yang mesra disapa Behar berkata, dia juga tidak menyangka mendapat maklum balas yang baik daripada penonton dan watak dilakonkannya tidak dibawa secara berlebihan.

Menurutnya, daripada apa diketahuinya, watak Latif juga diinspirasi daripada kisah benar dan pastinya dia sudah membuat yang terbaik untuk karekter berkenaan.

“Saya juga berharap dengan karakter ini akan memberi peluang saya untuk merasa memenangi anugerah dalam lakonan kerana saya belum lagi pernah menang apa-apa anugerah selama berlakon.

“Sebagai pelakon, saya tidak menafikan teringin juga menang anugerah dan naik ke pentas menerimanya sebagaimana pelakon lain. Diharapkan saya juga ada rezeki itu,” katanya.

Azhar yang mula berlakon sejak 1989 amat popular dengan drama seperti Cinta Antara Benua, Romeo & Juliet, Cinta Korporat, Astana Idaman selain sitkom Spanar Jaya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top