mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Doakan yang baik-baik agar saya terus sihat dan dapat berbakti kepada keluarga serta boleh terus menyanyi,” kata penyanyi Azharina Azhar mengulas berkenaan penyakit kanser dan kencing manis yang dideritainya sebelum ini.
Azharina, 39, berkata, dia turut bersyukur keadaan kesihatannya semakin pulih, namun masih dalam pemantauan doktor.
“Daripada apa yang di diagnosis, sejak Disember lalu, saya dah buat ujian semua. Bermula Mac lalu, saya mulakan rawatan kemoterapi sampailah September lepas.
“Jadi doktor tengok dan saya sendiri tengok. Saya bersyukur banyak perubahan. Cuma saya perlu teruskan penjagaan dari segi pemakanan, cukup tidur dan sebagainya.
“Saya tak boleh terlalu letih dan doktor tak bagi saya stress. Buat masa ini saya minta peminat terus mendoakan saya,” katanya yang ditemui pada sidang media Jelajah Konsert Amal, Legends anjuran Persatuan Karyawan Malaysia.
Persembahan bertujuan untuk mengutip derma Tabung Kebajikan Karyawan ini akan berlangsung di Kota Kinabalu pada 1 November ini dengan membariskan Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Ramli Sarip, Man Keedal, Azharina dan ramai lagi.
Menurutnya, dia seboleh mungkin tidak mahu memikirkan mengenai penyakit ini dan sebaliknya mahu fokus pada kariernya sahaja.
“Sebab bila saya cakap berkenaan sakit saya, ia macam tekanan buat saya. Sebab itu saya tak nak fikir sangat. Apapun, macam mana yang doktor sarankan, saya makan ubat hari-hari untuk seumur hidup saya.
“Sekarang baru tiga hari saya tukar ubat yang diberi doktor. Kalau sebelum ini, setiap hari saya makan enam biji ubat waktu pagi dan 12 biji waktu malam.
“Keseluruhannya saya kena makan 18 biji ubat sehari tidak termasuk vitamin di mana kos untuk vitamin dibeli sendiri,” katanya.
Azharina bagaimanapun lega apabila doktor meminimumkan ubat kerana ada jenis ubat merangkumi empat penyakit.
“Sekarang ada satu ubat untuk empat penyakit iaitu diabetes, jantung, buah pinggang dan urat. Pagi makan sebiji dan malam juga sebiji. Sebulan sekali saya juga kena jumpa doktor.
“Saya tak buat kemoterapi tapi hanya makan ubat kemoterapi dan kanser. Saya juga ambil ubat stem cell atas saranan doktor.
“Saya berkongsi perkara ini hanya untuk kesedaran, tapi orang ingat saya nakkan perhatian. Sebenarnya bila kita tahu ada kanser, kita boleh cegah dari awal. Kita ada pilihan untuk mengubatinya menerusi cara rawatan yang ada,” katanya.
Terdahulu ketika pelancaran single terbarunya Realiti berduet bersama Kozae pada Jun lalu, Azhari mengumumkan mengenai penyakitnya kepada media.
© New Straits Times Press (M) Bhd




