am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Selepas enam tahun menyepi tanpa karya baharu, bekas bintang Akademi Fantasia (AF) musim pertama, Azizi kini kembali memeriahkan industri muzik tanah air menerusi single terbaharu berjudul Raya Pop.
Kali terakhir muncul dengan lagu Hati Mati pada 2020, Azizi atau pemilik nama Ahmad Azizi Mohamed, 50, memilih nuansa moden Broadway yang digabungkan dengan elemen joget bagi memberi suntikan segar buat halwa telinga peminat menjelang Aidilfitri nanti.
Azizi mengakui tempoh enam tahun tanpa lagu baharu digunakannya sebaik mungkin untuk fokus kepada urusan peribadi dan keluarga, selain memperhalusi hala tuju muziknya agar lebih matang.
“Saya mengambil masa untuk mencari karya yang benar-benar sesuai dan mempunyai nilai emosi. Tempoh ini juga saya manfaatkan untuk memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya.
Menurut Azizi lagi, lagu ciptaan komposer Aus K dan lirik oleh The ini bukan sekadar lagu perayaan biasa, malah ia membawa mesej kasih sayang yang cukup mendalam.
“Lagu ini adalah inspirasi kegembiraan anakanda tersayang dan kanak-kanak yang menjadi penyeri Aidilfitri. Saya mahu ia menjadi simbol tawa dan warna-warni raya tidak kira di mana mereka berada,” katanya lagi.
Menyifatkan Raya Pop sebagai ‘pintu’ untuknya kembali aktif dalam bidang seni, Azizi berharap lagu yang sarat dengan melodi catchy ini mampu menceriakan suasana lebaran tahun ini.
“Ini adalah langkah baharu dalam perjalanan seni saya. Saya sangat bersyukur dapat kembali berkongsi karya dengan semua dan berharap ia dekat di hati pendengar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




