Azizul ‘kalung’ emas di Australia

Australia: Pelumba basikal trek sensasi Malaysia, Azizulhasni Awang membuktikan kayuhannya masih ‘menyengat’ meskipun tidak beraksi dalam kejohanan kompetitif hampir 10 bulan apabila memenangi pingat emas dalam acara keirin pada Kejohanan Basikal Trek Kebangsaan Australia di Brisbane hari ini.

The Pocket Rocketman berjaya menewaskan Matt Glaetzer yang menamatkan saingan di tempat kedua serta rakan senegara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang tamat di kedudukan ketiga.

“Alhamdulillah, syukur emas dalam acara keirin. Coretan akan menyusul kemudian. Terima kasih Malaysia”, kata Azizulhasni menerusi keterangan gambar yang dimuat naik dalam laman Instagram miliknya.

Gambar tersebut menunjukkan pelumba kelahiran Terengganu itu berada di atas podium bersama Glaetzer dan Shah Firdaus.

Sementara itu, kejayaan Azizulhasni dan Shah Firdaus menaiki podium di Brisbane itu menerima perhatian Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang mengucapkan tahniah kepada mereka berdua.

“Walaupun setelah agak lama tidak beraksi di kejohanan berbasikal, hari ini sekali lagi Azizulhasni muncul sebagai juara di kejohanan peringkat antarabangsa. Satu lagi kejayaan yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia”, kata Reezal menerusi akaun Facebook miliknya.

“Saya yakin kejayaan seperti ini bakal menjadi pembakar semangat kepada seluruh atlet negara untuk terus berusaha meningkatkan prestasi dan menyertai kejohanan-kejohanan di peringkat antarabangsa”, kata beliau lagi.

Sumber: BH Online

Akmal Hakim
Sports Desk

Scroll to Top