Azizulhasni antara sprinter paling genius dunia

Azizulhasni antara sprinter paling genius dunia
Azizulhasni antara sprinter paling genius dunia

Azizulhasni (depan) mengungguli acara keirin kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek UCI 2026 di Perth. Foto UCI

KEJAYAAN Datuk Azizulhasni Awang merangkul pingat emas acara keirin pada siri pembukaan Piala Dunia Berbasikal Trek UCI di Perth, Australia pada Sabtu mendapat pujian melangit pengulas ketika siaran langsung perlumbaan berkenaan.

Pengulas berpengalaman, Scott McGrory menyifatkan pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu sebagai antara pakar pecut paling bijak di dunia dan mengakui persembahannya pada aksi final tersebut jarang dapat disaksikan di pentas antarabangsa.

“Pada usia 38 tahun, Azizulhasni kekal antara pelumba pecut paling bijak di dunia. Ini benar-benar persembahan ‘master class’ daripada jaguh Malaysia.

“Tempat pertama miliknya dan dia kelihatan semakin hebat seiring peningkatan usia,” kata McGrory ketika mengulas perlumbaan akhir di Velodrom Perth SpeedDome.

Dalam perlumbaan mendebarkan itu, Azizulhasni yang mesra dengan panggilan Jijoe bermula di kedudukan kelima sebelum bijak membaca rentak perlumbaan dengan mengekori rapat pelumba nombor satu dunia dari Great Britain, Matthew Richardson.

McGrory turut memuji ketenangan serta pengalaman luas dimiliki The Pocket Rocketman yang memilih masa paling tepat untuk melancarkan serangan penentu kemenangan.

“Azizulhansi memang luar biasa… Dia kekal rapat di belakang roda, menunggu saat yang sesuai sebelum melepaskan pecutan untuk memintas di saat akhir,” katanya.

Seperti dijangka, Richardson memulakan pecutan terlebih dahulu, namun Azizulhasni menggunakan pengalaman dan ketajaman taktikalnya untuk memintas di penghujung perlumbaan.

Kemenangan itu juga terpaksa ditentukan melalui semakan foto sebelum Azizulhasni didapati terlebih dahulu melintasi garisan untuk meraih emas.

Dalam pada itu, Azizulhsani berkata fokusnya kini tertumpu kepada kejohanan terdekat dengan musim Piala Dunia tahun ini dijangka menjadi yang terakhir buat dirinya.

Selepas itu, beliau mahu memberi perhatian kepada Sukan Komanwel Glasgow 2026 dan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, selain tidak menolak kemungkinan beraksi di Kejuaraan Dunia Berbasikal Trek UCI di Shanghai.

Pada masa sama, Azizulhasni berkata beliau belum memikirkan perancangan jangka panjang dan akan menilai langkah seterusnya dari semasa ke semasa, sambil berseloroh bahawa penyertaan ke Olimpik Los Angeles 2028 memerlukan ‘lampu hijau’ daripada isterinya terlebih dahulu.

 

 

Ringkasan AI

  • Datuk Azizulhasni Awang meraih pingat emas acara keirin di Piala Dunia Berbasikal Trek UCI di Perth, Australia
  • Pengulas mengakui prestasi Azizulhasni sebagai persembahan master class dan menilainya sebagai pelumba pecut bijak
  • Azizulhasni menggunakan strategi mengekor pelumba nombor satu dunia sehingga saat akhir untuk memenangi perlumbaan
  • Kemenangan ditentukan melalui semakan foto, memastikan Azizulhasni melintasi garisan terdepan
  • Fokus Azizulhasni kini beralih kepada kejohanan terdekat dan berpotensi bersaing di Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun 2026
Scroll to Top