Azizulhasni Awang dipacu ke Piala Dunia Trek Malaysia 2026

Azizulhasni Awang dipacu ke Piala Dunia Trek Malaysia 2026

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Skuad berbasikal trek negara meningkatkan tahap persiapan menjelang kalender pertandingan antarabangsa bermula Mac ini hingga Piala Dunia Trek yang dijadual berlangsung di Malaysia pada April, dengan sasaran utama kembali diletakkan di bahu jaguh negara, The Pocketrocketman, Datuk Azizulhasni Awang.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill, berkata persiapan rapi sedang dijalankan termasuk kerja menaik taraf kemudahan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan Malaysia bersedia menjadi tuan rumah kejohanan berprestij dunia itu.

Menurutnya, Piala Dunia Trek yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai dijangka membabitkan penyertaan 48 negara dengan kehadiran hampir 700 atlet serta pegawai dari seluruh dunia.

“Ia acara besar dan sangat padat. Ini bukan kejohanan Trek Asia biasa yang selalunya disertai sekitar 20 hingga 22 negara, sebaliknya Piala Dunia menghimpunkan hampir semua pelumba terbaik dunia dengan sandaran kembali disandarkan kepada Azizulhasni” katanya.

Mengulas pembabitan Azizulhasni, Amarjit mengesahkan pemenang pingat Olimpik Tokyo dan Rio itu akan mengharungi jadual pertandingan yang padat bermula dengan Piala Dunia Trek pusingan pertama di Perth dari 6 hingga 8 Mac.

“Selepas Perth, dia bersama pelumba negara yang lain akan menyertai Kejohanan Trek Asia (ACC) di Tagaytay, Filipina dari 25 hingga 31 Mac sebelum turun beraksi di Piala Dunia Trek di Nilai dari 24 hingga 26 April.

“Sebagai persediaan untuk itu, mereka juga akan kembali berkampung di Melbourne sebelum Piala Dunia di Perth. Mereka akan buat latihan dua minggu di sana dan selepas itu mereka akan terus ke Piala Dunia dan ACC,” katanya.

Menurut Amarjit, siri pertandingan itu penting sebagai medan persiapan utama buat barisan atlet negara dalam misi jangka panjang ke Sukan Asia dan Komanwel serta kemungkinan Kejohanan Dunia Trek di China pada hujung tahun ini.

“Setakat ini semua atlet berada dalam keadaan bersedia. Saya juga berbincang dengan jurulatih Harnizam Basri serta jurulatih lain dan mereka gembira dengan perkembangan semasa, termasuk Azizul. Semuanya berjalan lancar,” katanya.

Mengulas acara yang disertai Azizulhasni di kejohanan-kejohanan berkenaan, pelumba berusia 37 tahun itu dijangka beraksi dalam acara keirin dan pecut, mewakili Malaysia sepenuhnya dan bukan pasukan profesionalnya.

Sementara itu, barisan pelumba yang akan digandingkan bersama Azizulhasni dalam acara keirin masih dalam perbincangan, termasuk kemungkinan membabitkan Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang kini dalam proses pemulihan daripada kecederaan.

Dalam perkembangan lain, Amarjit menyifatkan Kejohanan ACC di Tagaytay sebagai platform penting untuk menilai kesiapsiagaan keseluruhan skuad kebangsaan.

Terdahulu Amarjit berbesar hati meraikan barisan pelumba negara dengan mengadakan jamuan makan malam bagi meraikan kejayaan barisan atlet negara yang beraksi di Sukan Sea Bangkok serta Sukan Para Asean di Thailand, malam semalam.

Amarjit berkata majlis itu bertujuan mengiktiraf pencapaian atlet selain mengeratkan hubungan silaturahim antara atlet, jurulatih dan persatuan, membabitkan semua disiplin termasuk trek, lebuh raya, basikal gunung dan BMX.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top