JAGUH berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang dan rakan sepasukan Muhammad Shah Firdaus Sahrom disahkan tidak akan menyertai Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2026 yang dijadual berlangsung di Tagaytay, Filipina dari 25 hingga 31 Mac ini.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata keputusan itu dibuat bagi membolehkan kedua-dua pelumba memberi tumpuan kepada aksi Siri Piala Dunia Trek UCI yang akan berlangsung di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai dari 24 hingga 26 April.
Menurutnya, langkah itu juga sebahagian daripada perancangan pasukan dalam memastikan kedua-dua pelumba berada pada tahap terbaik menjelang kejohanan utama tahun ini.
“PKBM berpandangan lebih baik Datuk Azizulhasni menumpukan tenaganya kepada Siri Piala Dunia Trek di Nilai, tambahan pula kejohanan itu kembali dianjurkan di gelanggang sendiri selepas 25 tahun. Pendekatan sama turut diambil bagi Shah Firdaus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, status penyertaan Azizulhasni ke ACC menjadi tanda tanya walaupun pelumba berusia 38 tahun itu mempamerkan prestasi cemerlang pada Siri Piala Dunia Trek di Perth, Australia minggu lalu.
Pengarah teknikal skuad trek negara, John Beasley memaklumkan keputusan mengenainya masih dipertimbangkan ketika itu kerana pasukan mahu memastikan Azizulhasni berada pada tahap terbaik menjelang kejohanan utama seperti Sukan Komanwel 2026 dan Sukan Asia 2026.
Susulan keputusan tidak menyertai ACC, PKBM memberi peluang kepada pelumba muda meningkat naik, Lau New Joe untuk menggalas cabaran negara pada kejohanan di Tagaytay.
Amarjit yang juga Naib Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) berkata ACC menjadi pentas terbaik buat pelumba muda menguji kemampuan berdepan pencabar dari seluruh Asia.
“Saya percaya pelumba seperti New Joe berpotensi mencipta kejutan. PKBM perlu berani memberi ruang kepada pelumba muda beraksi di peringkat tertinggi di pentas trek Asia,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Amarjit turut melahirkan keterujaan terhadap peningkatan ranking dunia Azizulhasni selepas aksi cemerlang di Perth.
Bekas juara dunia dan pemenang pingat perak acara keirin di Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu menghadiahkan pingat emas keirin serta gangsa pecut individu, sekali gus melonjak 39 anak tangga ke kedudukan ke-18 dunia dengan 2,737 mata dalam ranking pecut elit lelaki UCI.
New Joe turut menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila naik 19 anak tangga ke kedudukan ke-17 dunia dengan 2,612 mata hasil prestasi pada kejohanan sama.
Sementara itu, PKBM menyasarkan Azizulhasni dan Shah Firdaus berada pada prestasi terbaik menjelang Sukan Komanwel 2026 di Glasgow serta Sukan Asia 2026 di Jepun sebagai sebahagian persiapan menuju pusingan kelayakan mata bagi Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Ringkasan AI
- JAGUH berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom tidak akan menyertai Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2026 di Filipina
- Keputusan itu dibuat untuk membolehkan mereka memberi tumpuan kepada Siri Piala Dunia Trek UCI di Velodrom Nasional Malaysia
- Keputusan tidak menyertai ACC memberi peluang kepada pelumba muda, Lau New Joe menggalas cabaran negara
- Azizulhasni dan New Joe menunjukkan peningkatan dalam ranking dunia selepas prestasi cemerlang di kejohanan di Perth
- PKBM menyasarkan Azizulhasni dan Shah Firdaus berada pada prestasi terbaik menjelang Sukan Komanwel 2026 dan Sukan Asia 2026



