Azlan dakwa PN Perlis guna ‘Tiktoker’ fitnah kerajaan BN dalam kempen PRU15

Azlan dakwa PN Perlis guna ‘Tiktoker’ fitnah kerajaan BN dalam kempen PRU15

KANGAR: Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man mendakwa Perikatan Nasional (PN) negeri telah menggunakan golongan muda melalui aplikasi Tik Tok semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu untuk
berbohong, menfitnah dan memburuk-burukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum itu.

Azlan berkata, salah satunya ialah menggunakan dua orang pemuda berasal dari Perlis untuk menfitnah dan berbohong bahawa tiada pembangunan yang dibawa oleh BN sejak 2013 hingga 2022 termasuk mengenai
fitnah dan pembohongan mereka mengenai pembangunan di Padang Besar.

Kata Azlan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, pemuda berkenaan mendakwa tiada satu pun pembangunan yang berlaku di Padang Besar sepanjang tempoh tersebut.

“Tiada pembangunan pelancongan, perindustrian, pertanian dan macam-macam lagi. Rakyat Perlis ramai terpesona dengan fitnah dan pembohongan mereka.

“Tapi pada 26 Januari lalu, Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli bersama barisan Exco kerajaan negeri dan ramai pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri telah melawat tapak beberapa projek pembangunan di Padang Besar. Antara tapak projek yang dilawati ialah CVIA, IBC, Pavillion Padang Besar, ASTI-UniKL, Perlis Inland Port, bonded-road, railway spurline dan Super Fruit Valley.

“Lawatan MB (Menteri Besar) dan rombongan itu dikawal rapi oleh sekumpulan anggota keselamatan bersenjata lengkap,” katanya dalam hantaran di Facebooknya di sini hari ini.

Tambah Azlan, beliau terbaca kenyataan Menteri Besar sebelum ini bahawa projek-projek pembangunan tersebut yang sebahagian besar telah dan sedang dilaksanakan akan dlteruskan.

Sebelum itu, katanya, Raja Perlis menerusi titah dalam satu majlis di Istana Arau ada menyebut bahawa kerajaan negeri sekarang amat bernasib baik dan menitahkan supaya projek-projek pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan kerajaan sebelum ini diteruskan.

“Projek-projek pembangunan ini adalah bukti nyata kerajaan negeri BN telah tunaikan mandat rakyat membawa pembangunan untuk dinikmati oleh negeri dan rakyat Perlis. Saya tak perlu cerita lagi nilai pelaburan yang telah dibawa ke Perlis dalam tempoh 2013-2022 tersebut.

“Jadi, saya nak tanya kerajaan PN sekarang bagaimana dengan fitnah dan pembohongan melalui Tik Tok semasa kempen PRU-15 dulu? Buktikan bahawa ini bukan fitnah dan pembohongan.

“Juga saya nak tanya kepada dua pemuda yang makan upah dari PN untuk buat fitnah dan pembohongan tersebut ?, apa penjelasan anda. Adakah wang upah telah mengaburi mata anda berdua ?. Rakyat nilailah sendiri. Saya menyaksikan sahaja,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top