syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon dan pelawak, Azlee Jaafar, 57, meluahkan rasa syukur apabila pembayaran bil hospital usai melakukan prosedur peletakan sten yang mencecah puluhan ribu ringgit berjalan lancar.
Azlee yang sinonim dengan kumpulan Senario ketika dihubungi berkata, dia meminta jasa baik pihak hospital untuk pulang berehat di rumah untuk mengelakkan kos bil meningkat.
“Kos hospital itu doktor anggarkan lebih RM30,000, mencecah RM40,000. Tapi, pihak IJN ada berikan pengurangan dan dapat juga bantuan daripada Yayasan Selangor. Alhamdulillah, semua pembayaran dah selesai.
“Kalau lagi lama saya berada di hospital, kosnya juga akan meningkat. Jadi, apabila dimaklumkan keadaan saya semakin stabil, saya minta jasa baik pihak hospital untuk pulang dan berehat di rumah,” katanya kepada Harian Metro.
Tambah Azlee, dia juga berterima kasih kepada doktor dan petugas perubatan yang merawatnya di Hospital Sungai Buloh (HSB) dan Institut Jantung Negara (IJN).
“Alhamdulillah, hari ini selepas seminggu melakukan prosedur berkaitan jantung itu, keadaan kesihatan saya dah mula stabil. Sekarang, dah dua tiga hari saya berehat di rumah dan nafas pun agak selesa berbanding sebelum ini.
“Terima kasih saya ucapkan kepada IJN dan HSB. Doktor maklumkan, kalau lambat dirawat, memang merisikokan nyawa saya.
“Di IJN cara kerja mereka pantas untuk menyelamatkan nyawa pesakit. Alhamdulillah dan terima kasih kepada doktor dan petugas perubatan,” katanya.
Azlee juga menasihatkan kepada masyarakat supaya mengambil perlindungan insurans sebagai persediaan sekiranya berlaku masalah kesihatan kritikal.
“Sebelum ini, saya ada komplikasi hempedu dan hati. Jadi, bila ada masalah dalaman seperti ini, susah untuk pihak insurans terima. Tapi, alhamdulillah semuanya dipermudahkan.
“Kepada mereka yang masih sihat, dapatkan perlindungan insurans sebab kalau ada masalah kesihatan yang kritikal, tiba-tiba kena buat rawatan, sekurang-kurangnya kita dah ada persediaan,” katanya.
Walaupun keadaan kesihatannya mengganggu urusan kerja harian, Azlee yakin rezeki untuknya meneruskan kelangsungan hidup akan dipermudahkan Allah.
“Doktor suruh saya berehat selama sebulan. Saya juga dinasihatkan untuk tidak melakukan kerja-kerja berat.
“Tapi, macam hari ini, saya akan ke Malam Gala Filem Saka Perawan sebab saya salah seorang pelakon dalam filem itu. Jadi, saya nak pergi untuk beri sokongan moral kalau Allah izinkan.
“Sumber pendapatan saya bergantung kepada tawaran kerja. Kalau tak ada kerja, tak ada pendapatan. Tapi, Insya-Allah, saya yakin Allah akan permudahkan.
“Di TikTok, saya hanya buat ‘live’ bila ada masa terluang sahaja secara sambilan. Tapi, dalam keadaan kesihatan sekarang, saya berehat dahulu,” katanya.
Semalam, Azlee turut menerima kunjungan daripada wakil Pejabat Perdana Menteri dan menerima sumbangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd