KUALA LUMPUR – Pelawak dan pelakon, Azlee Jaafar atau lebih dikenali sebagai Azlee Senario kini berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).
Perkembangan itu dimaklumkan oleh rakan artis yang juga anggota Senario, Yassin di media sosial miliknya.
“Alhamdulillah. Abang Azlee dalam keadaan yang stabil dan masih dalam pemantauan di CCU IJN.
“Kepada semua, mohon doakan abang Azlee diberi kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan,” tulisnya di Instagram.
Awal hari ini, media melaporkan Azlee, 56, dikejarkan dari Hospital Sungai Buloh ke IJN selepas tidak sedarkan diri di kediamannya di Sungai Buloh, malam tadi.
Sahabatnya, Saiful Apek berkata, difahamkan Azlee berpeluh-peluh sebelum pengsan, lalu, keluarga segera bertindak menghubungi ambulans.
Terdahulu, berita mengenai Azlee dikongsi pelawak Ropie pada Instagram miliknya yang turut berkongsi foto pelawak itu berada dalam ambulans. – MalaysiaGazette




