norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi juga vokalis Caliph Buskers, Azmi Saat, 39, mengesahkan anak perempuannya, Khalisa Insyirah yang kini berusia dua tahun lima bulan memang diketegorikan ‘speech delay’ atau mungkin lebih daripada itu.
Ujar Azmi, bagaimanapun buat masa ini masalah sebenar dialami oleh anak kesayangannya itu masih belum dikenal pasti atau diagnosis sepenuhnya, namun dia akan terus menghantar kanak-kanak itu menjalani terapi.
“Perkembangan anak saya, belum boleh bercakap lagi. Malah, dia (Khalisa Insyirah) memang boleh dikategorikan ‘speech delay’ atau pun mungkin lebih sikit daripada itu. Cuma, belum didiagnosis apa-apa.
“Kita pun dah hantar terapi yang menjurus kepada melakukan cara kerja sejak setahun lalu. Tetapi, rawatan itu hanya dibuat sekali seminggu sahaja dan dalam sebulan hanya empat kali.
“Bagaimanapun, baru dua bulan lepas kita hantar Khalisa Insyirah untuk intervensi awal pula. Namun, perkembangan ditunjukkannya masih sedikit dan untuk bercakap belum boleh lagi.
“Sebab sekarang ini, dia baru hendak meniru pergerakan. Kalau hendak bercakap, cikgu beritahu dia kena tiru bunyi dulu. Maknanya, kalau buat bunyi monyet maka dia pun boleh meniru bunyi itu,” katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, Azmi hadir pada majlis Sesi Santai Media yang meperdengar lagu solo terbaharu berjudul Satu dan menjadi OST (lagu tema) drama Mencari Isteri Sempurna di Redbox Karaoke The Gardens di sini, semalam.
Berbicara lanjut mengenai keadaan anaknya, Azmi berkata Khalisa Insyirah juga belum boleh faham arahan yang disuruh melainkan sedia mengikut ke mana sahaja diajak pergi bersama-sama.
“Sepatutnya pada usia anak sekarang yang sudah dua tahun setengah, dia sudah boleh faham arahan termasuk boleh bercakap. Tetapi, anak saya arahan pun tidak boleh nak faham lagi.
“Namun, perkembangan ditunjukkannya kalau kita panggil dan mengajak ke mana-mana dia akan ikut. Sebelum ini, kalau ajak pun dia takkan ikut,” katanya memaklumkan berhadapan keterbatasan melatih anak di rumah.
Menurut Azmi, dia dan isteri sama-sama bekerja. Apatah lagi, dengan kekurangan tidak boleh melihat menyebabkan mereka berdua berhadapan kekangan hendak mengajar Khalisa Insyirah ketika berada di rumah.
“Banyak benda yang saya dan isteri tidak boleh mengajar anak ketika di rumah seperti menunjuk barang kepadanya, warna ataupun memberitahu ini gambar apa? Jadi, kami hanya ambil inisiatif hantar ke sekolah.
“Tapi, perbelanjaan untuk menghantar anak ke sekolah bimbingan itu pun bayaran bulanan agak mahal. Buat masa ini, kita hanya mampu hantar ke kelas untuk seminggu tiga hari sahaja iaitu Isnin, Rabu dan Jumaat.
“Tempoh pembelajaran pula sehari selama tiga jam. Ini kerana, saya tidak mampu memasukkan Khalisa Insyirah untuk sesi sepenuh hari kerana soal bayaran. Sekarang ini pun sebab sekolah bimbingan itu baru dibuka operasinya dan saya mendapat harga promosi, RM800 sebulan,” katanya.
Pada awal Mac lalu, Azmi menerusi hantaran video dimuatnaik dalam Instagram (IG) berkongsi luahan perasaannya yang ingin mendengar anak memanggil ayah dan masih belum menjadi kenyataan.
Terdahulu, Azmi dan isteri, Nazira Muhammad menyambut kelahiran Khalisa Insyirah yang juga anak kedua mereka pada November 2023 selepas lebih 10 tahun menunggu kehadiran cahaya mata.
Azmi berkahwin dengan Nazira pada 2011 dan mereka pernah dikurniakan anak sulung lelaki, Allahyarham Khairul Afnan yang lahir pada 27 September 2021, namun meninggal dunia pada 30 September 2021 kerana kegagalan fungsi otak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




