Bukan lagi sekadar suara di sebalik nama kumpulan, Azmi Saat kini tampil dengan keberanian baharu apabila mempertaruhkan single solo berjudul SATU.
Selepas lebih 10 tahun membina reputasi sebagai vokalis utama Caliph Buskers, Azmi atau nama lengkapnya, Khairul Azmi Muhammad Saat, 38, menyifatkan kemunculan lagu itu sebagai fasa penting dalam perjalanan seninya.
Menurutnya, SATU bukan sekadar percubaan solo, tetapi lambang kematangan dan keyakinan diri untuk membawa identiti tersendiri dalam industri muzik tempatan.
“Ini bukan soal mahu lari daripada kumpulan, tetapi saya mahu berkembang sebagai anak seni. SATU sangat dekat dengan jiwa saya,” katanya.
Menariknya, lagu ciptaan Naqiu dengan lirik tulisan Wit Mohsen itu sudah berada dalam simpanannya sejak tiga tahun lalu.
Azmi mengakui, sebaik mendengar melodi yang diperdengarkan, dia terus terpaut.
“Melodinya cukup kuat dan liriknya membawa tema cinta seorang hamba kepada Sang Pencipta. Saya memang cenderung kepada karya berunsur ketuhanan, jadi lagu ini terasa sangat peribadi,” katanya.
Walaupun proses rakaman tertangguh beberapa kali berikutan jadual padat, Azmi percaya setiap yang berlaku mempunyai hikmah.
Lebih bermakna, SATU turut dipilih sebagai runut bunyi (OST) utama bagi drama rantaian 60 episod yang bakal menghiasi slot siaran sepanjang Ramadan ini.
“Bagi saya, ini rezeki yang datang pada waktu tepat. Lagu ini membawa mesej yang sesuai dengan suasana Ramadan,” katanya.
Diterbitkan oleh Sony Music Malaysia, SATU akan dilancarkan secara rasmi pada 30 Januari 2026 dan boleh didapati di semua platform digital.




