Kuala Lumpur: Pengacara dan penyampai radio, Datuk Aznil Nawawi membuat kejutan istimewa kepada seorang pembeli peribadi dengan menghadiahkan sebuah peti sejuk.
Menerusi satu perkongsian di akaun rasmi Kool FM, Aznil bersama Haiza ‘tergamam’ apabila wanita dikenali Kak Za mendakwa tidak dapat menyimpan barangan basah yang dibeli di pasar kerana tiada peti sejuk di rumahnya.
Mendengar keluhan wanita itu, Aznil bertindak pantas dan memberitahu mahu membeli sebuah peti sejuk.
“Pak Nil (panggilan Aznil) belanja awak beli peti sejuk,” kata Aznil kepada Kak Za.
Terkejut dengan rezeki yang diterima, Kak Za kelihatan sebak dan tersenyum gembira.
“Betul ke? Ya Allah, Alhamdulillah,” katanya.
Menerusi video itu, Aznil juga sempat menghubungi suami Kak Za dikenali Farhan mengenai niat murninya untuk membantu mereka sekeluarga.
“Allahuakbar Pak Nil, semoga murah rezeki. Terima kasih Pak Nil. Selamat Hari Raya,” kata Farhan.
Video yang dimuat naik Kool FM itu menerima pelbagai reaksi dan rata-ratanya berterima kasih kepada pengacara terkenal itu kerana sudi meringankan beban wanita terbabit.
Sehingga kini video yang dikongsikan sudah meraih lebih 180,000 tontonan dan 9,000 tanda suka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




