KUALA LUMPUR – Pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi menyifatkan kempen Blockout 2024 yang sedang digerakkan netizen negara ini di media sosial ketika ini sebagai keterlaluan kerana menjatuhkan maruah sesama manusia.
Malah jelas Aznil atau mesra disapa sebagai Paknil, 61, sifat menghasut sehingga wujud cacian dan makian bukan cara yang tepat untuk merealisasikan kempen tersebut.
“Pada awalnya kita mahu jatuhkan Yahudi tetapi akhirnya kita jatuhkan saudara mara Islam kita sendiri. Syaitan kalau gagal menghasut untuk menjadi jahat, dia akan menghasut untuk kita kelihatan baik.
“Kita nak jahanamkan kaum Yahudi tetapi pada masa sama kita berpecah, syaitan sukalah situasi Islam berpecah belah,” luahnya rasa kecewa menerusi Instagram.
Mengulas lanjut, Aznil menasihati netizen agar tidak mudah menjatuhkan hukum kepada selebriti tanah air yang nama mereka Blockout 2024.
“Apabila seseorang selebriti itu memuat naik tentang Palestin, janganlah mencemuh artis terbabit dengan perkataan ‘baru nak kongsi’.
“Sekurang-kurangnya dia kongsi juga isu kemanusiaan itu, bagus dia sedar mungkin akan dapat hidayah suatu hari nanti,” katanya sambil menasihati diri sendiri.
Dalam pada itu, Aznil juga mengajak orang ramai untuk melakukan satu gerakan kemenangan yang boleh rapatkan saf.
Sebelum ini, antara nama selebriti tempatan tersenarai dalam kempen atau gerakan Blockout 2024 termasuklah Mira Filzah, Daiyan Trisha, Neelofa, Scha Alyahya, Awal Ashaari, Nadhir Nasar, Nabila Razali, Janna Nick, Ruhainies dan ramai lagi.
Gerakan bermula di pertunjukan fesyen Met Gala 2024 di New York pada 6 Mei pada masa sama serangan ke atas Rafah dilakukan menyebabkan netizen membantah selebriti yang membisu mengenai penindasan Zionis terhadap Palestin.
Disebabkan gerakan itu, bintang realiti, Kim Kardashian hilang tiga juta pengikut media sosial, diikuti Blackpink, Taylor Swift dan Selena Gomez. – MalaysiaGazette




