Aznil sahkan tiket ke Sukan Komanwel

Aznil sahkan tiket ke Sukan Komanwel

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Atlet angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin mengesahkan tiket awal ke Sukan Komanwel Glasgow tahun depan selepas memenangi pingat emas pada Kejohanan Komanwel di Ahmedabad, India, hari ini.

Bersaing dalam kategori baharu bawah 65 kilogram lelaki yang diperkenalkan Jun lalu, Aznil tenang mengangkat 125kg dalam snatch dan 172kg bagi clean and jerk untuk muncul juara dengan jumlah angkatan 297kg.

Peserta tuan rumah, Raja Muthupandi meraih perak dengan angkatan keseluruhan 296kg (128kg snatch, 168kg clean and jerk), manakala pingat gangsa menjadi milik atlet Papua New Guinea, Morea Baru dengan 292kg (127kg snatch, 165kg clean and jerk).

Mengikut format kejohanan, pemenang emas setiap kategori layak secara automatik ke Sukan Komanwel.

Ia adalah pingat emas pertama Malaysia pada kejohanan kali ini selepas Mohamad Aniq Kasdan meraih gangsa dalam kategori 60kg lelaki dan Irene Henry meraih perak dalam kategori bawah 48kg wanita.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top