norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon yang kini menjadi pramugari, Azzahra Ahmad selesa berstatus solo buat masa sekarang sekali gus mengakui dia masih belum terbuka hati untuk berkahwin semula.
Terdahulu, Azzahra sah bercerai dengan pelakon Jay Iswazir, 43, pada November tahun lalu selepas dua tahun hidup bersama sebagai suami isteri sejak Mac 2022 dan mereka tidak dikurniakan cahaya mata.
Azzahra ketika ditemui baru-baru ini berkata, dia sangat gembira serta bersyukur hubungan dengan bekas suami, Jay masih baik hingga kini walaupun mereka sudah bercerai dan membawa haluan hidup masing-masing.
“Alhamdulillah, saya dan Jay tetap baik-baik saja walaupun kami pernah ada isu perceraian sebelum ini. Kami sudah berbaik dan masih berhubung sebagai sahabat. Saya juga rapat dengan keluarga mentua dan ibu Jay tetap sayangkan saya.
“Tapi, untuk saya dan Jay hidup bersama semula, mungkin tidaklah. Ini kerana, kami masing-masing suka dengan kehidupan sekarang dan saling menghormati. Saya pun sibuk dengan kerja tetap sebagai pramugari sejak lebih setahun lalu.
“Jadual penerbangan saya ada yang domestik (dalam negara) dan destinasi ke luar negara. Apapun, saya sangat bersyukur kini sudah ada kerja tetap dan pendapatan juga terjamin,” katanya kepada Harian Metro.
Azzahra turut menyifatkan penting untuknya ada kerja tetap bagi menampung kehidupan pada ketika ini yang boleh dikatakan kos sara hidup agak tinggi, termasuk perlu penuhi komitmen peribadi.
Ditanya juga tawaran berlakon diterimanya, Azzahra berkata masih ada lagi pihak produksi yang memanggilnya, namun ia bergantung pada kelapangan masa cuti agar tidak mengganggu tugas di awan biru.
“Saya masih lagi terima tawaran berlakon. Tapi, saya hanya ambil yang tidak memerlukan masa lama di lokasi seperti membintangi telefilem. Kiranya, itu kerja ketika saya cuti dari penerbangan.
“Berlakon tetap jadi minat saya. Oleh itu, saya akan terus berlakon secara sambilan mengikut tawaran. Kalau ada tawaran berlakon dengan watak sesuai dan kena pada masa, insyaAllah saya terima,” katanya.
Antara drama pernah dibintangi Azzahra setakat ini seperti Akad Ibu Sejadah Rindu, Kan Cheong, Kampung Si Rabun, Operasi X dan Terlarang Sudah Rinduku, termasuk filem Eva pada 2023 lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd