Azzam Sham cadang nak tamat kontrak dengan Rusa Music

Azzam Sham cadang nak tamat kontrak dengan Rusa Music

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Putrajaya: Penyanyi, Azzam Sham, 27, meluahkan hasrat dan rancangan untuk menamatkan kontrak bersama Rusa Music walaupun kontraknya akan tamat pada Julai tahun depan.

Azzam ketika ditemui berkata, dia pernah meluahkan hasrat itu kepada syarikat rakaman itu, namun masih belum menerima sebarang jawapan atau kelulusan.

“Saya akui, karier seni saya agak menurun sedikit dan saya pun tak ada keluarkan apa-apa produk baru. Sekarang saya cuba untuk habiskan kontrak saya lebih awal. Rasanya, lebih baik saya bergerak sendiri.

“Saya dah lama juga luahkan hasrat ini kepada syarikat rakaman kerana saya sendiri pun tak nampak sebarang perkembangan dari segi lagu dan sebagainya.

“Saya dah cuba usulkan, tapi masih belum diluluskan. Sementara ini, saya umpama digantung tak bertali dan saya pun masih mencari peluang,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Azzam, sekiranya semuanya mendapat persetujuan dan dapat diselesaikan, dia akan bergerak sendiri tanpa bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman selepas ini.

“Saya rasa itu adalah langkah terbaik. Rasanya saya nak bergerak sendiri sepenuhnya. Kalau boleh, saya akan minta nasihat daripada orang-orang di dalam industri, tapi bukan untuk tandatangan kontrak untuk bernaung di bawah label lain lagi selepas ini,” katanya.

Isterinya yang juga penyanyi, Sheryl Shazwanie juga sebelum ini bernaung di bawah syarikat rakaman sama dan sudah menamatkan kontrak pada 2020.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top