Azzurri mampu atasi Perancis

Azzurri  mampu atasi Perancis

Paris: Bekas pemain prop Itali, Cherif Traore, percaya pasukan Azzurri yang ‘lapar kemenangan’ mampu menewaskan Perancis dalam kejohanan Enam Negara hujung minggu ini selepas permulaan yang mengagumkan.

Selepas menewaskan Scotland dalam perlawanan pembukaan, Itali hampir mencatat kemenangan pertama di tempat lawan menentang Ireland, setelah mendahului pada separuh masa pertama.

Hujung minggu ini, Itali akan ke Lille untuk menentang juara bertahan, Perancis yang memulakan kempen mereka dengan menewaskan Ireland dan kemudian Wales.

“Perlawanan baru-baru ini menunjukkan pasukan ini bekerja keras untuk menjadi seperti sekarang kerana mereka lapar kemenangan dan mahu dunia melihat bahawa mereka sedang berkembang dan berevolusi,” kata Traore kepada AFP.

“Perancis mempunyai lebih potensi dan berada di kedudukan lebih baik daripada Itali. Tapi kita tidak bercakap soal teori sahaja. Itali boleh menjadi salah satu pasukan terbaik dunia,” tambah pemain berusia 31 tahun itu.

Itali bangkit meyakinkan sejak bekas jurulatih Argentina, Gonzalo Quesada, mengambil alih selepas Piala Dunia Ragbi 2023.

Sebelum itu, mereka hanya memenangi dua perlawanan Enam Negara dalam tempoh 10 tahun, termasuk rekod 33 kekalahan berturut-turut antara 2016 hingga 2022.

Namun, di bawah Quesada, mereka memenangi empat perlawanan dan seri satu daripada 12 perlawanan, memberi kadar kemenangan 33 peratus, berbanding hanya 13 peratus secara keseluruhan dalam kejohanan tersebut.

Dalam dua tahun mengendali, Quesada memimpin kemenangan penting ke atas Scotland, Wales dan Australia hasil daripada set-piece mantap, pertahanan disiplin dan beberapa aksi gemilang individu daripada pemain seperti fly-half Paolo Garbisi, centre Tommaso Menoncello dan kapten Michele Lamaro.

“Saya rasa jika dia (Quesada) terus melakukan apa yang dilakukannya sekarang, dia akan menjadi salah seorang jurulatih terbaik yang Itali pernah ada,” kata Traore.

“Konsistensi, pertumbuhan dan evolusi melalui sistem yang ada jauh lebih baik daripada sebelum ini. Saya lihat pasukan sekarang berbeza berbanding ketika saya bermain dulu. Mentaliti mereka berbeza, hati mereka berdegup pantas kerana mereka lapar untuk menang,” tambahnya lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top