B. Grimm sasar pelaburan RM4.26 bilion dalam RE Malaysia

B. Grimm sasar pelaburan RM4.26 bilion dalam RE Malaysia

MEDIA MULIA

KUALA LUMPUR: Konglomerat tenaga multinasional Thailand, B. Grimm Power Public Company Ltd berhasrat untuk menerokai tenaga boleh baharu yang sedang melonjak di Malaysia melalui pelaburan sebanyak US$1 bilion atau RM4.26 bilion.

Projek tersebut termasukah membangunkan loji solar dalam beberapa tahun akan datang.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif B. Grimm, Datuk Seri Harald Link berkata,  pihaknya melihat usaha tersebut akan menjadi pengembangan penting bagi B. Grimm yang telah pun melabur sekitar RM200 juta dalam sektor RE Malaysia, sejak memasuki pasaran semasa tempoh COVID-19.

“B. Grimm boleh membawa kepakarannya dalam loji janakuasa solar, tenaga perindustrian termasuk juga dalam pengeluar tenaga bebas (IPP) ke Malaysia,” katanya memetik laporan media tempatan di sini, hari ini.

Link turut berkata, B. Grimm mahu mengukuhkan kehadirannya di Malaysia selepas memperoleh 45 peratus kepentingan dalam reNIKOLA Holdings Sdn Bhd pada 2021 sebanyak RM367 juta secara tunai.

Pengambilalihan 45 peratus kepentingan dalam modal saham yang diperbesar reNIKOLA Holdings telah dibuat melalui anak syarikat milik penuhnya, B. Grimm Power Malaysia Sdn Bhd, baki  55 peratus dalam reNIKOLA dipegang oleh reNIKOLA Sdn Bhd.

Grimm sebelum ini menyuntik RM152.5 juta ke dalam reNIKOLA dan syarikat itu telah mengambil alih dua projek tenaga solar yang terletak di Kuala Muda di Kedah serta Machang di Kelantan dengan kapasiti dipasang sebanyak 90 megawatt (MW).

Kedua-dua projek di Kuala Muda dan Machang telah memeterai perjanjian pembelian tenaga selama 21 tahun dengan Tenaga Nasional Bhd.

reNIKOLA Holdings turut memiliki aset tenaga solar di Arau, Perlis, Gebeng dan Pekan di Pahang.

Ia akan membangunkan loji solar berskala besar di Bukit Kayu Hitam, Kedah (menunggu pengeluaran lesen), yang mana, akan menghasilkan tenaga sebanyak 418 megawatt selepas siap.

Grimm juga telah menggabungkan sebuah syarikat yang menjual alat ganti untuk penghawa dingin dan peti sejuk 20 tahun yang lalu.

Namun kini, B. Grimm menerokai pula perniagaan gas kitaran gabungan di Malaysia dan meneroka peluang dalam projek tenaga pembakaran gas.

“Kami mempunyai banyak projek di Thailand malah kami adalah pembekal tenaga terbesar di 10 zon ekonomi khas, kami juga aktif di tiga negara iaitu Thailand, Kemboja dan Vietnam. Kami sangat mahir dalam membekalkan elektrik tanpa gangguan kepada industri,” katanya.

Di antara loji tenaga yang dikendalikan oleh B. Grrim, ia  adalah loji penjanaan gabungan 140-MW di wilayah Chon Buri, yang terletak di Laem Chabang Industrial Estate, yang membekalkan elektrik kepada Pihak Berkuasa Penjanaan Elektrik Thailand (EGAT) serta industri di dalam estet tersebut.

Link berkata tenaga tanpa gangguan adalah penting bagi industri, yang mana B. Grimm mempunyai penyelesaian serta kepakaran, ia mengendalikan rangkaian pengedaran yang memenuhi keperluan kuasa voltan sederhana dan tinggi.

Selain tenaga berasaskan gas, B. Grimm membekalkan kuasa solar dari bumbung serta bateri dan walaupun wujud persepsi bahawa Malaysia mempunyai kapasiti yang terhad untuk tenaga angin disebabkan oleh faktor geografi dan iklim, beliau yakin bahawa tenaga elektrik masih berpotensi diekstrak dari angin di negara ini.

“Kami telah melabur dalam tenaga hidro, angin, solar serta gas, dan kami melakukan ini di lebih daripada 15 negara.

“Kami adalah entiti swasta pertama yang membina loji angin luar pesisir di Korea Selatan. Kami membinanya dengan turbin, dengan setiap turbin angin berketinggian antara 100 hingga 150 meter, dengan penjana, bilah dan kotak gear yang terletak di bahagian atas. Kotak gear digunakan untuk memindahkan tenaga,” katanya.

Link juga mengatakan bahawa B. Grimm telah melabur dalam sebuah syarikat di Jerman yang boleh melenyapkan penggunaan kotak gear, dengan teknologi baharu ini, isu-isu mekanikal serta risiko kerosakan dapat dikurangkan-UTUSAN

 

 

Scroll to Top