'Babah sangat menjaga kesihatan, selalu berjoging' – Anak Ishsam

'Babah sangat menjaga kesihatan, selalu berjoging' – Anak Ishsam

am@hmetro.com.my

Georgetown: Anak kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin melahirkan rasa terkejut apabila menerima khabar pemergian bapanya, petang tadi.

Muhammad Iszul Imadi Ishsam, 32, ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), menyifatkan bapanya seorang yang mementingkan penjagaan kesihatan diri dan tidak menghidap sebarang penyakit.

“Babah sangat menjaga kesihatan. Beliau berjoging, mengambil suplemen dan selalu memeriksa tekanan darahnya.

“Sebab itu saya sangat terkejut apabila mendapat panggilan mengenai pemergian bapa petang tadi,” katanya yang merupakan anak kedua daripada empat beradik.

Menurut Iszul, dia yang ketika itu berada di Ipoh segera bergegas ke HPP bersama ibunya, Rozlita Abdullah, 55, serta ahli keluarga lain.

Dia yang bekerja sebagai kontraktor berkata, kali terakhir dia bertemu bapanya ialah pagi tadi dan Allahyarham tidak menunjukkan apa-apa perubahan dan petanda luar biasa.

“Keadaan babah seperti biasa. Kami tidak menyangka itu akan menjadi kali terakhir kami melihatnya masih ada lagi bersama bersama kami,” tambahnya.

Jenazah Allahyarham Ishsam akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rapat Setia di Ipoh, Perak.

Terdahulu, Ishsam, 59, dilaporkan rebah dan tidak sedarkan diri kira-kira jam 5.20 petang ketika bersalaman dengan pemain di tepi padang sempena Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di Stadium Bandaraya.

Beliau dikejarkan ke hospital sekitar jam 5.40 petang selepas menerima bantuan kecemasan di padang.

Bagaimanapun, beliau disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan Hospital Pulau Pinang pada jam 6.28 petang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top