syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi Amira Othman menyangkal dakwaan babak akhir dalam video muzik (MV) lagu raya duet bersama adiknya, Irfan Haris iaitu Bincang Raya sebagai bayangan atau ‘gimik’ dirinya kini sedang hamil.
Amira, 33, menjelaskan babak yang memaparkan dirinya seolah-olah sedang berbadan dua itu hanyalah sekadar jalan cerita kreatif bagi memberi elemen kejutan kepada penonton.
Menurut Amira, idea bagi babak itu datang daripada suaminya, Fattah Amin yang bertindak sebagai pengarah MV berkenaan bersama rakan pengarah, Khalid Nadzri.
“Tak ada (maksud tersirat). Saya sendiri ada tanya suami kenapa buat jalan cerita begitu di akhir video?
“Dia kata cuma nak bagi cerita itu lebih menarik dan kelakar sedikit, ada ‘plot twist’. Jadi, ia bukan satu gimik,” katanya.
Ditanya mengenai desas-desus peminat yang membuat teka-teki mengenai status dirinya dikatakan sudah berbadan dua, Amira memohon orang ramai agar mendoakan yang terbaik buat dirinya dan suami.
Amira juga menegaskan tidak mempunyai niat untuk menyembunyikan sebarang berita gembira sekiranya perkara itu benar pada masa hadapan.
“Insya-Allah kalau ada benda baik pada waktu yang paling sesuai, kami akan kongsikan.
“Kita kena pertimbangkan nasihat keluarga dan orang-orang alim juga supaya semuanya bersesuaian. Bukan niat nak sembunyi, cuma kita lihat pada keadaan,” katanya.
MV Bincang Raya mula ditayangkan secara rasmi di saluran YouTube pada 7 malam tadi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




