'Baby face' idam jadi askar

'Baby face' idam jadi askar

am@hmetro.com.my

Meskipun baru tiga tahun menapak dalam industri seni, pelakon, Zarif Ghazzi mengakui lebih cenderung untuk menjayakan watak antagonis berbanding watak hero dalam sesebuah drama.

Walaupun Zarif menyifatkan dirinya masih baru dalam bidang lakonan, namun jiwanya lebih terikat dengan karakter antagonis kerana adanya ruang kreativiti yang lebih luas tanpa batasan tertentu.

“Bila jadi hero, ada had yang perlu kita hormati. Hero tak boleh melepasi had garisan itu, tapi berbeza dengan watak antagonis yang boleh melepasi had itu pada bila-bila masa sahaja.

“Sebagai pelakon, saya suka melepasi penanda aras yang ditetapkan produksi,” katanya.

Tambah Zarif atau pemilik nama Zarif Farahi Effie Ghazzi, 22, minatnya terhadap watak antagonis bukan bermaksud dia mempunyai personaliti sedemikian, sebaliknya dia lebih gemar meneroka sisi lakonan yang lebih mencabar dan bebas.

“Dalam masa sama, saya tetap cuba menghormati jalan cerita supaya watak saya tak lebih daripada watak hero.

“Buat masa ini, saya belum ada perancangan lagi sama ada mahu ke arah watak hero atau watak antagonis. Selagi boleh cuba, saya akan cuba apa sahaja peluang yang datang.

“Tak bermakna bila saya kata saya suka watak antagonis, saya tak suka jadi hero. Saya terbuka untuk bawa apa-apa sahaja watak yang diberikan,” katanya lagi.

Menurutnya, pembabitan dalam pelbagai genre dan karakter buat masa ini adalah proses pembelajaran untuk dia lebih mengenali kemampuan diri sebagai anak seni.

Memiliki raut wajah ‘baby face’ bukan alasan buat pelakon drama Antara Dua Syurga ini untuk berasa kerdil dalam mengejar watak impiannya.

“Alhamdulillah, setakat ini semua watak yang saya mahu saya dapat. Di awal pembabitan dalam industri, saya bermula dengan watak lelaki berusia 28 tahun.

“Ketika itu, saya perlu ‘beratkan’ badan daripada 70 kilogram (kg) sehingga mencecah 90kg demi tuntutan watak,” katanya.

Pelakon telefilem Rumah Menanti Cahaya ini turut menyimpan impian besar membawa watak askar sekiranya diberikan peluang pada masa hadapan.

“Watak yang saya teringin nak bawa adalah watak askar. Walaupun hanya berlakon, saya mahu rasa bagaimana perasaan apabila kita memikul tanggungjawab besar,” katanya.

Sementara itu, anak kelahiran Johor ini turut menyatakan kesediaan untuk melakukan apa sahaja transformasi fizikal termasuk membotakkan kepalanya sekiranya ia menjadi tuntutan watak dalam sesebuah naskhah.

“Saya sanggup buat apa sahaja demi sesebuah watak. Bagi saya yang paling penting adalah watak yang dibawa berjaya memberi impak kepada penonton,” katanya.

Zarif yang membawa watak Sarip dalam drama bersiri khas Aidilfitri, Hilang Dalam Rindu 2 itu yakin karakternya yang antagonis itu mampu mencetuskan kemarahan penonton.

“Sejujurnya saya mengharapkan penonton marah. Bagi saya, apabila lakonan saya diterima dengan kecaman hebat, itu adalah satu pencapaian dan kejayaan sebagai pelakon.

“Ini bermakna saya berjaya menghidupkan rasa marah dalam diri penonton. Saya okey sahaja kalau orang tak suka saya disebabkan watak itu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top