Pelakon, Andy Teh tidak menyangka perkongsiannya membaca surah An-Nas di Instagram (IG) sebelum ini meraih perhatian ramai apabila ramai peminat mula memanggilnya dengan gelaran ‘imam saya’.
Menurut atau nama sebenarnya Andy Teh Kim Hua, 38, menjelaskan niatnya berkongsi bacaan ayat al-Quran bukan untuk menunjuk hebat, sebaliknya sebagai bukti kesungguhannya mempersiapkan diri sekiranya diberi watak yang ada kaitan dengan agama Islam.
“Malaysia negara berbilang bangsa. Kalau saya dapat karakter yang dekat dengan Islam, sekurang-kurangnya saya tahu serba sedikit. Itu sebab saya belajar.
“Perkongsian bacaan surah An-Nas bukan sebab nak tunjuk pandai, tapi sebagai signal kepada rumah produksi bahawa saya sudah bersedia. Cuma bila ramai mula panggil saya ‘imam’ di DM, memang saya tergelak sendiri,” katanya.
Andy berkata demikian ketika ditemui pada sidang media dan tayangan filem Abah Saya Uncle Mike, pada Selasa.
Mengulas lanjut, ada juga segelintir peminat yang keliru mengenai identitinya hingga menyangka dia berbangsa Melayu.
“Sebenarnya saya Cina, dalam keluarga pun tiada yang mualaf. Cuma bila dah lama berkawan dengan ramai orang Melayu dalam industri, mungkin itu yang buat orang salah sangka,” jelasnya.
Menerusi filem baharu itu, Andy memegang watak utama sebagai Uncle Mike iaitu seorang lelaki Cina yang membesarkan tiga anak angkat Melayu tanpa mengabaikan pegangan agama mereka.
“Sejujurnya saya risau juga sebab sebelum ini banyak bawa watak antagonis. Kali ini sebagai seorang bapa, saya sanggup menyendiri seketika untuk lari daripada imej lama.
“Alhamdulillah, bila Uncle Mike sendiri beritahu dia puas hati dengan lakonan saya dan siap beri 10 markah, rasa semua usaha berbaloi,” katanya.
Filem Abah Saya Uncle Mike yang diinspirasikan daripada kisah benar itu bakal menemui penonton di pawagam Malaysia dan Brunei bermula 28 Ogos 2025.