Bacaan kali pertama RUU Anti Buli fokus majoriti kes

Bacaan kali pertama RUU Anti Buli fokus majoriti kes

hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Rang undang-undang (RUU) Anti Buli yang dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama pada 1 Disember ini adalah untuk menangani majoriti kes yang sedang dihadapi negara, khususnya membabitkan kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, tujuan utama RUU Anti Buli adalah untuk menangani majoriti kes yang sedang dihadapi negara, khususnya membabitkan kanak-kanak.

“Kita mahu membantu bukan saja mangsa buli, tetapi juga ibu bapa agar mereka memahami tanggungjawab masing-masing serta jelas mengenai apa yang dikategorikan sebagai buli. Lebih-lebih lagi kerana sebelum ini tiada definisi rasmi mengenai pembuli dalam undang-undang,” katanya kepada Harian Metro.

Pada 18 November lalu, KPWKM memperkenalkan Dasar Kanak-Kanak Negara dan Pelan Tindakan (2026-2030) yang disokong 141 tindakan di bawah 16 keutamaan strategik.

Di bawah dasar berkenaan turut menyentuh mengenai isu buli yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak antaranya buli siber.

Nancy berkata, dasar itu mempunyai objektif strategik panjang dan mempunyai pelan tindakan yang selari dengan Convention on the Rights of Children (CRC) ratifikasi pada Februari 1995.

“Apapun yang kita lakukan, kita harus berkaitan dengan CRC. Mengenai elemen buli memang ada dimasukkan di dalam dasar ini. Paling penting, topik berdasarkan isu terbaru, termasuk buli terutama membabitkan atas talian.

“Pelan tindakan asas sangat penting. Kami bekerjasama dengan ASEAN dan negara lain.

Australia adalah salah satu negara yang menyokong kami dan juga Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

“Oleh itu, komuniti, pemerintah, badan bukan kerajaan (NGO) dan ibu bapa terutamanya, perlu bekerjasama dengan satu sama lain supaya kita dapat menangani isu buli,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, RUU yang diluluskan Jemaah Menteri pada 21 November lalu itu bagi memperkukuh usaha pencegahan dan perlindungan terhadap isu buli, khususnya dalam kalangan kanak-kanak bagi Fasa Pertama.

Azalina berkata, keseluruhan kerangka RUU Anti Buli bersifat sivil, yang menekankan keperluan untuk memperkukuh mekanisme pencegahan, perlindungan mangsa serta pemulihan pelaku.

PIBGN gesa tubuh suruhanjaya siasatan khas tangani buli

Peningkatan berterusan kes buli di sekolah kini menjadi isu yang semakin membimbangkan ibu bapa.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, pihaknya menggesa supaya kerajaan mewujudkan Akta Anti-Buli dan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Khas bagi menangani masalah itu secara menyeluruh.

Beliau turut menyifatkan situasi buli dalam kalangan pelajar sekolah ketika ini sebagai membimbangkan dan tidak boleh dipandang ringan.

“Kerajaan perlu mengambil langkah drastik termasuk menubuhkan satu Suruhanjaya Kesihatan Pelajar bagi menyiasat punca, trend dan faktor dalaman serta luaran yang menyebabkan kes buli meningkat dari tahun ke tahun.

“Isu buli perlu diberhentikan. Kita mahukan sifar buli di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

“Sudah tiba masanya satu suruhanjaya khas ditubuhkan untuk meneliti, menyiasat dan memberi cadangan lengkap untuk membanteras gejala ini,” katanya.

Katanya, pihaknya memberi sokongan penuh agar undang-undang khas itu diwujudkan segera, lengkap dengan elemen siasatan yang rapi tanpa prejudis.

“Bukan saja pembuli, malah pembantu pembuli, saksi pasif dan pihak yang cuai perlu dinilai dalam siasatan. Undang-undang mesti menyeluruh dan adil.

“Ibu bapa juga tidak boleh melepaskan tanggungjawab mendidik anak kepada sekolah semata-mata,” katanya.

Katanya, pendidikan anak bukan tugas guru sahaja. Ibu bapa mesti sedar bahawa mereka adalah penjaga utama. Tanpa kerjasama, undang-undang menjadi tidak berkesan.

“Objektif utama bukan sekadar menghukum pelaku, tetapi untuk mewujudkan persekitaran sekolah yang harmoni, selamat dan kondusif untuk anak-anak belajar.

“Kita bukan hanya mahu turunkan statistik. Kita mahu banteras buli sepenuhnya. Kita mahu sekolah aman, guru tidak tertekan dan pelajar boleh belajar tanpa takut,” katanya.

Beliau berharap RUU Anti Buli dipercepatkan sebelum keadaan menjadi lebih parah, sekali gus memastikan Malaysia berada di landasan terbaik mencapai matlamat sifar buli dalam sistem pendidikan nasional.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top