Badan kebajikan gesa kerajaan Britain lindungi petugas kesihatan di Gaza

Badan kebajikan gesa kerajaan Britain lindungi petugas kesihatan di Gaza

London: Badan kebajikan berpangkalan di United Kingdom (UK), Medical Aid for Palestinians (MAP) pada Khamis menggesa kerajaan Britain mengambil tindakan segera untuk melindungi petugas kesihatan di Gaza, termasuk Pengarah Hospital Kamal Adwan yang ditahan bulan lalu oleh Israel, lapor Agensi Anadolu (AA).

Dalam satu kenyataan, MAP menegaskan peningkatan serangan sistematik Israel yang menyasarkan sistem kesihatan dan kakitangan perubatan Gaza, dengan “menjadikan kelangsungan hidup rakyat Palestin mustahil.”

“Kami di MAP amat bimbang akan keselamatan Dr. Hussam Abu Safiya dan semua petugas kesihatan Palestin yang ditahan oleh tentera Israel,” kata Fikr Shalltoot, Pengarah MAP Gaza.

Beliau berkata bahawa penahanan ini, bersama serangan sistematik ke atas hospital di utara Gaza menyebabkan puluhan ribu penduduk tidak mendapat akses kepada rawatan kesihatan dan memaksa mereka berpindah ke selatan.

Pada 27 Disember lalu, tentera Israel menyerbu Hospital Kamal Adwan di utara Gaza dan membakar serta merosakkan bangunan-bangunan penting, menyebabkan hospital itu tidak lagi beroperasi.

Dr. Hussam Abu Safiya, pengarah hospital turut ditahan bersama puluhan kakitangan perubatan lain. ,

Pada Selasa, Hamish Falconer menteri untuk Timur Tengah menggesa Israel segera menjelaskan sebab penahanan Abu Safiya, ketika menjawab soalan mendesak mengenai penahanan pengarah hospital itu dan utara Gaza di Dewan Rakyat.

“Walaupun kami menyambut baik keputusan menteri untuk membangkitkan kes Dr. Hussam Abu Safiya dengan Israel, adalah tidak mencukupi untuk sekadar meminta penjelasan tanpa menuntut pembebasan beliau dan semua petugas kesihatan yang ditahan secara sewenang-wenangnya,” kata Rohan Talbot, Pengarah Advokasi dan Kempen MAP dalam kenyataan itu.

“Respons diplomatik yang lemah daripada kerajaan UK ini amat memalukan dan satu pengabaian terhadap tanggungjawab moral dan undang-undangnya,” kata Talbot.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top