Putrajaya: Orang Kena Tuduh (OKT) yang ditahan reman di penjara kerana tidak dapat menyelesaikan proses jaminan selepas didakwa di mahkamah kini boleh melakukannya menerusi sidang video.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) memaklumkan, ia susulan langkah Badan Kehakiman memperkenalkan penyempurnaan proses jaminan melalui teknologi komunikasi jarak jauh yang mana kehadiran OKT ke mahkamah secara fizikal dikecualikan.
Menurut PKPMP, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengeluarkan arahan berhubung penyempurnaan proses jamin melalui sidang video itu yang akan berkuat kuasa 15 Mac ini.
“OKT yang dibenarkan untuk dijamin oleh mahkamah boleh menyempurnakan proses jaminan melalui sidang video sebelum OKT itu dilepaskan dari penjara,” menurut PKPMP dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sebelum ini, proses jamin bagi seseorang yang dituduh di mahkamah yang ditahan reman di penjara, mewajibkan kehadirannya ke mahkamah secara fizikal.
PKPMP menjelaskan, arahan penyempurnaan proses jamin berkenaan terpakai di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di seluruh Malaysia yang membabitkan OKT yang ditahan reman di dalam penjara kerana gagal menyempurnakan jamin pada hari OKT dituduh di mahkamah.
Pandemik Covid-19 yang melanda mengehadkan pergerakan orang ramai dan tidak terkecuali OKT yang ditahan reman di penjara.
“Badan Kehakiman Malaysia berharap inisiatif itu akan dapat meningkatkan kualiti akses kepada keadilan dengan memanfaatkan penggunaan teknologi secara optimum terutama dalam pengendalian kes semasa,” menurut PKPMP.




