Badan suami Syura terbakar tahap kedua

Badan suami Syura terbakar tahap kedua

najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Ketika suami nak mengawal suhu dapur gas, tiba-tiba bubur yang sedang dipanaskan untuk anak kami meletup sehingga api menyambar dan suami saya terpelanting.”

Demikian kata penyanyi Syura Badron mengenai kejadian yang menimpa suaminya Muhammad Farizat akibat letupan tong gas di tempat penginapan mereka di Perlis, Jumaat lalu hingga menyebabkan melecur teruk di bahagian muka, kaki dan tangan dan menerima rawatan di sebuah pusat perubatan di Sunway, Selangor sejak semalam.

Syura ketika dihubungi Harian Metro berkata, kejadian itu turut menyebabkan anggota tubuh badan suaminya itu terbakar tahap kedua.

“Sepatutnya saya yang berada di tempat itu, tapi dia pula yang melalui ujian ini.

“Syukur Allah melindungi saya dan anak ketika letupan itu berlaku. Kami tidak berada di laluan kawasan itu.

“Cuma sekarang ini saya tak sampai hati nak melihat keadaan suami yang mengalami melecur teruk terutama di bahagian kaki dan muka,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Syura, suaminya itu dilaporkan stabil dan tidak mengalami kecederaan serius.

“Selepas menerima rawatan di sebuah hospital di Perlis dan dibawa ke Alor Setar, Kedah untuk menerima rawatan di Unit Rawatan Kebakaran, saya nekad untuk membawanya pulang dan menerima rawatan di sini.

“Lagipun di sini dekat dengan ahli keluarga. Kami ke sana pun sebab berniaga.

“Setakat ini dia dilaporkan stabil, tapi hari ini dia mengalami demam. Saya cuma risau jika dia mengalami jangkitan saja,” katanya.

Terdahulu Syura berkongsi berita mengenai keadaan Farizat yang menerima rawatan di hospital kerana melecur teruk di bahagian muka, kaki dan tangan akibat letupan tong gas di tempat penginapan mereka di Perlis, Jumaat lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top