firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Badi bumi Vietnam terus menghantui skuad Harimau Malaya apabila harapan untuk mengejutkan skuad Naga Emas di depan penyokong mereka gagal apabila tewas 1-3 dalam aksi terakhir Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Thieng Truong, Nam Dinh, di Vietnam, malam tadi.
Keputusan itu menyaksikan rekod kekalahan Malaysia di Vietnam terus kekal dengan kali terakhir menang pada 2014 lalu di Hanoi.
Malah, kekalahan itu juga adalah yang pertama buat Peter Cklamovski sejak mengemudi pasukan negara pada Januari tahun lalu, di mana skuad kebangsaan menang lapan aksi di bawah kendaliannya.
Begitupun dalam aksi itu, kelonggaran benteng pertahanan negara dilihat punca sebenar kepada tiga gol lawan yang sepatutnya boleh dielakkan khususnya di bahagian pertahanan tengah dan kanan pasukan.
Sıkap hanya memerhati dan tidak mencabar penyerang Vietnam menyaksikan gawang negara mudah dibolosi terutama di awal permainan setiap babak.
Gol pertama tuan rumah diraih menerusi tandukan ketua pasukan, Do Duy Manh di minit keenam selepas dia memanfaatkan sepakan sudut tanpa dicabar pertahanan untuk menewaskan Syihan Hazmi di pintu gol negara.
Skuad negara cuba bangkit untuk mendapatkan jaringan namun kelebihan 1-0 itu kekal hingga wisel penamat babak pertama.
Skrip sama berulang apabila anak buah Kim Sang-sik meraih gol pantas sebaik separuh masa bermula apabila giliran penyerang naturalisasi Vietnam, Nguyen Xuan Son menanduk masuk bola hantaran Do Hoang Hen di minit 51 untuk gol kedua.
Kerapuhan benteng negara sekali lagi dihukum Xuan Son apabila dia melonjak tinggi di minit 58 untuk menewaskan Syihan buat kali ketiga sekali gus mengukuhkan kelebihan tuan rumah.
Skuad negara begitupun meraih gol saguhati di minit 77 apabila dihadiahkan sepakan penalti dan ia disudahkan oleh Endrick Dos Santos untuk merapatkan kedudukan.
Pasukan negara cuba mencari dua gol lagi namun Vietnam tenang bertahan hingga wisel penamat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




