Badi The Cops akhirnya terlerai, tumpaskan KTRW 1-0

Badi The Cops akhirnya terlerai, tumpaskan KTRW 1-0

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: PDRM FC akhirnya merasai nikmat kemenangan apabila menundukkan Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), sebentar tadi.

Selepas mengharungi saingan Liga Super yang cukup perit dengan kemenangan terakhir dikecapi pada September tahun lalu, PDRM di bawah pimpinan Eddy Gapil tampil lebih meyakinkan seawal babak pertama bermula.

Malah gerakan berbahaya yang ditampilkan jentera serangan diketuai awang import dari Korea Selatan, Park Taesu kerap kali menyebabkan barisan pertahanan KTRW bermandi peluh dalam usaha mengekang setiap asakan terbabit.

Penat lelah PDRM akhirnya membuahkan hasil apabila lorongan Taesu disempurnakan Eizrul Ashraf Nor Effendy untuk memastikan The Cops mendahului 1-0 pada minit 26.

Gol terbabit seolah-olah membangkitkan skuad kendalian Akmal Rizal Rakhil daripada tidur apabila giliran mereka pula bertali arus melancarkan serangan berbahaya ke kubu lawan.

KTRW yang turun dengan status sebagai pasukan tuan rumah hampir menyamakan kedudukan namun tandukan pemain import dari Perancis Enzo Celestine tersasar jauh.

Kem PDRM terus berada dalam situasi cemas apabila sepakan tonggak sayap KTRW Syafiq Ismail sudah menewaskan penjaga gol lawan Nor Hakeem Hamidun namun palang pula menafikan jaringan pemain itu.

KTRW terus mendapat peluang keemasan untuk merobek gawang PDRM namun sepakan Albert Kang dari luar kotak penalti sempat ditampan Nor Hakeem sekali gus babak pertama berakhir dengan hanya satu jaringan saja.

Memasuki separuh masa kedua, KTRW dilihat cukup agresif dalam memburu gol penyamaan.

Serangan bertali arus dilakukan dengan peluang terbaik hadir pada minit 66 namun tandukan Celestine hanya singgah ke palang.

KTRW turut melakukan sekurang-kurangnya tiga tukaran pemain bagi memberi ‘nafas baru’ kepada jentera serangan pasukan.

Namun setiap serangan gagal diterjemahkan kepada gol apabila barisan pertahanan PDRM cukup kebal melakukan sekatan sekali gus keputusan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan.

Kemenangan itu menamatkan kemarau 12 perlawanan tanpa kemenangan buat PDRM yang masih berada di tangga tercorot Liga Super dengan 10 mata, manakala KTRW kekal di kedudukan ke-10 dengan 15 mata.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top