sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: “Saya minta maaf terutama kepada peminat,” kata ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali.
Beliau berkata demikian selepas pasukan bimbingannya gagal mara ke peringkat separuh akhir saingan Piala FA sebagaimana pencapaian pada musim lalu.
Terdahulu pada aksi suku akhir kedua menentang Kuching City FC di Stadium Negeri, Kuching malam tadi, skuad Penyu hanya melakar kemenangan 2-1 sekali gus tewas dengan agregat 3-5 kepada kelab dari Sarawak itu selepas tumpas 1-4 pada aksi pertama minggu lalu.
Bagaimanapun bekas ‘arkitek’ pasukan Terengganu itu akui pasukan bimbingannya berjaya memperagakan aksi yang bertenaga pada malam tadi, namun nasib tidak menyebelahi pasukannya.
“Pemain beraksi dan berjuang bersungguh-sungguh untuk mencipta kemenangan besar bagi bagi memadam kekalahan pada aksi pertama, namun rezeki tidak memihak kepada pasukan kami.
“Apa-apapun kami perlu terima hakikat ini tidak layak ke peringkat separuh akhir, kami akan fokus kepada saingan Liga Super dan juga saingan Piala Malaysia selepas ini,” ujar jurulatih berusia 49 tahun itu.
Sementara itu Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC, Mohd Isa Che Ariffin menuntut pemain bangkit terutama bakal berdepan dengan ‘gergasi’ Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan liga di tempat sendiri pada Jumaat ini.
“Pada masa sama TFC perlukan perubahan, pihak pengurusan perlu melihat serta mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada dalam pasukan.
“Prestasi pasukan tidak seperti yang diharapkan peminat, semoga kekurangan pasukan diperbaiki dengan segera untuk perlawanan yang akan datang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




