sukan@hmetro.com.my
Seremban: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali menyerahkan kedudukannya selaku pengendali pasukan itu kepada pihak pengurusan kelab TFC selepas skuad bimbingannya sekadar mencatat keputusan seri, 1-1, dengan Negeri Sembilan FC (NSFC), dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, petang semalam.
Kedudukan beliau sebelum ini dikatakan dalam situasi bahaya susulan prestasi kurang memberangsangkan pasukan Terengganu dalam liga selain terkandas dalam saingan Piala FA musim ini.
“Saya serahkan kepada pihak pengurusan kelab membuat keputusan dan akan terima dengan hati yang terbuka, terhadap sebarang keputusan yang dibuat,” kata Badrul Afzan kepada media selepas berakhir perlawanan, malam tadi.
Pengendali berusia 49 tahun itu akui masih mengharapkan beliau diberikan peluang untuk terus membimbing skuad Penyu sehingga ke penghujung musim 2025/2026.
“Sudah tentu saya ingin teruskan tugas dan tanggungjawab, setidak-tidaknya sehingga habis musim. Apa pun saya serahkan kepada pihak kelab menentukannya,” kata bekas ‘arkitek’ Terengganu itu yang mendapat bantuan Tengku Hazman Raja Hassan dan Rosdi Talib.
Mengulas persembahan pemain Terengganu dalam aksi itu, Badrul Afzan memuji komitmen tinggi dan sikap tidak putus asa anak buahnya yang berjuang sehingga ke wisel penamat.
Menurutnya, walaupun beraksi dengan 10 pemain dalam tempoh 75 minit perlawanan selepas Kyaw Min Oo dilayangkan kad merah oleh pengadil, namun pemain kekal memberikan tentangan dan dalam masa sama dapat bertahan dengan baik.
“Bukan mudah bermain dengan cuaca dan di Paroi ini, namun saya bersyukur kerana satu mata yang amat berharga kepada pasukan kami.
“Pujian harus diberikan atas semangat juang tinggi dipamerkan pemain sehingga kita dapat satu mata pada saat-saat akhir. Semangat juang seperti ini perlu diteruskan untuk perlawanan seterusnya,” katanya yang terpaksa akur dengan keputusan pengadil melayangkan kad merah kepada Min Oo.
Dalam aksi itu, skuad Hobin Jang Hobin terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi Luqman Hakim Shamsudin pada masa tambahan separuh masa pertama disusuli gol penyamaan Terengganu dijaringkan Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili pada minit ke-90.
© New Straits Times Press (M) Bhd



