Bagai ada yang kurang – Soon Huat

Bagai ada yang kurang – Soon Huat

SKUAD badminton negara ke Piala Sudirman di China hujung bulan ini dilihat hampir sempurna, namun ada sesuatu yang kurang.

Kekurangan tersebut diakui oleh pemain berpengalaman negara, Goh Soon Huat yang menyifatkan ketiadaan Lee Zii Jia tetap dirasai.

Zii Jia terpaksa diketepikan kerana masih menjalani proses pemulihan kecederaan buku lali.

“Kita kurang Zia Jia, namun kita tetap akan beri yang terbaik untuk dapatkan mata buat Malaysia.

“Ini kejohanan berpasukan, menang kalah kita tetap satu pasukan. Jadi kami akan saling menyokong antara satu sama lain,” katanya.

Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama Jepun, Perancis dan Australia pada kejohanan yang dijadual berlangsung di Xiamen bermula 27 April hingga 4 Mei.

Soon Huat yang bakal bergandingan dengan Shevon Lai bersedia untuk diturunkan dan terbuka dengan sebarang percaturan taktikal barisan kejurulatihan.

“Semua bergantung kepada strategi yang akan ditentukan oleh jurulatih. Mereka akan berbincang dan mungkin akan ada pertukaran pasangan bergantung kepada kesesuaian serta kekuatan lawan,” katanya.

Sebagai pengganti Zii Jia, dua pemain muda – Leong Jun Hao dan Justin Hoh – akan menggalas cabaran dalam acara perseorangan lelaki, manakala Goh Jin Wei dan K Letshanaa diberikan kepercayaan dalam perseorangan wanita.

Skuad negara turut diperkuatkan dengan tiga beregu lelaki iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik; Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei; serta Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Beregu wanita pula menyaksikan gandingan utama Pearly Tan-M Thinaah disokong pasangan muda, Go Pei Kee-Carmen Ting.

Selain Soon Huat-Shevon, beregu campuran akan turut disertai Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin serta kemungkinan gandingan semula Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei.

Scroll to Top