Pasir Mas: “Saya tidak menyangka di usia 77 tahun, kediaman yang menjadi tempat saya berteduh sejak lahir lenyap sekelip kata dan kini terpaksa tinggal di rumah sewa.”
Demikian luahan Wan Khatijah Wan Ibrahim, salah seorang penduduk yang kehilangan rumah selepas tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi, di sini, runtuh pada 17 Februari lalu.
Katanya, sehingga kini kejadian yang berlaku itu seolah-olah mimpi kerana ianya berlaku sekelip kata tanpa sempat mereka sekeluarga bersiap sedia.
“Sebelum ini saya tinggal bersama seorang anak dan tiga cucu di rumah berkenaan, namun kini kami sekeluarga terpaksa menyewa di belakang Hospital Lati dengan bayaran RM400 sebulan.
“Mungkin di situlah tempat kami anak-beranak tinggal selepas ini untuk selama-lamanya,” katanya.
Wan Khatijah berkata demikian selepas menerima sumbangan daripada Presiden Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ibrahim Satu (SMKSIS), Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan di Madrasah Al-Ahmadi, di sini, hari ini.
Seramai tujuh mangsa termasuk enam yang kehilangan rumah menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM3,000 setiap keluarga.
Mengulas lanjut, Wan Khatijah berkata, rumah berkenaan penuh dengan kenangan mereka sekeluarga memandangkan dia dilahirkan dan tinggal di rumah berkenaan sepanjang hayatnya.
“Saya tidak menyangka tragedi itu menyebabkan kami kehilangan rumah yang menyimpan pelbagai memori sekelip mata.
“Namun, saya masih bersyukur kerana kejadian itu tidak mengorbankan kami sekeluarga kerana sudah berpindah lebih awal,” katanya.
Penduduk lain, Nor Ain Ramli, 33, berkata dia tiga beranak menumpang di rumah keluarga di Kampung Bayu Lalang, di sini, selepas kejadian.
“Saya juga lahir di rumah berkenaan dan semestinya mempunyai 1,001 kenangan buat kami sekeluarga.
“Namun, saya reda dengan kehilangan rumah pusaka itu dan kini menumpang di rumah keluarga buat sementara waktu sebelum mencari rumah sewa yang lain.
“Alhamdulillah, setakat ini kerajaan negeri memberi sumbangan RM500 sebulan selama enam bulan bagi membolehkan kami membayar sewa rumah,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan seramai 100 penduduk Kampung Pohon Celagi, di sini, terpaksa dipindahkan selepas berlaku tebing runtuh sepanjang 200 meter pada 17 Februari lalu.
Runtuhan berlaku bermula jam 2.30 sehingga 6.30 pagi itu turut mengakibatkan beberapa rumah ranap dipercayai disebabkan terjahan air Sungai Kelantan ke benteng berkenaan.
Sementara itu, Zaman Khan berkata, beliau dan rakan-rakan terpanggil untuk membantu keluarga mangsa selepas melihat tragedi yang berlaku di media.
“Kami tidak menyangka dapat mengumpulkan sebanyak RM38,000 dalam tempoh dua minggu sahaja. Kami akan terus membantu anak-anak mereka yang kehilangan rumah dari segi persekolahan,” katanya.




