Bagasi 'pink' berisi syabu RM258,550

Bagasi 'pink' berisi syabu RM258,550

am@hmetro.com.my

Iskandar Puteri: Lelaki ditahan selepas polis menemui 5.1 kilogram (kg) syabu dalam sebuah bagasi berwarna ‘pink’ di Gelang Patah di sini, 26 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, lelaki berkenaan ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada 5.20 petang.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam kenderaan dipandu, polis menemukan sebuah bagasi yang disyaki mengandungi dadah jenis syabu bernilai RM258,550.

“Polis merampas dadah yang ditemui, selain menyita Perodua Myvi dipandu lelaki berkenaan.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine sementara semakan rekod lampau mendapati suspek memiliki rekod lampau berkaitan dadah.

“Suspek kini direman hingga 7 Februari 2026 mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, pada 19 Januari lalu, polis menahan dua lelaki yang mengedar dadah di sebuah kediaman di kawasan Gelang Patah.

Beliau berkata, kedua-dua suspek berusia 35 tahun.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, polis menemukan 13 paket plastik yang mengandungi dadah disyaki jenis heroin dan syabu.

“Jumlah rampasan dadah adalah sebanyak 1,555.51 gram heroin

dan 8.49 gram syabu yang bernilai RM16,683.

“Polis turut menyita sebuah kereta dan motosikal bernilai RM52,000 dan jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan adalah berjumlah RM68,683.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis morphine serta hasil semakan turut mendapati kedua-dua suspek mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top